
3 Cedera, Bas Ekspres Bawa 25 Penumpang Terbabas Dalam Longkang
TAPAH — Tiga cedera ringan selepas sebuah bas ekspres membawa 25 penumpang terbabas ke dalam longkang di Kilometer 342.2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Johari Yahya berkata, hasil siasatan mendapati insiden itu berlaku sekitar jam 1 petang tadi.
Sewaktu kejadian, bas berkenaan yang dipandu oleh lelaki berumur 31 tahun sedang dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, sewaktu tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dipandu lelaki itu telah hilang kawalan lalu terbabas ke dalam longkang di sebelah kiri jalan.
“Seramai tiga orang penumpang mengalami kecederaan ringan sahaja dan telah mendapat rawatan di Hospital Slim River. Manakala 22 orang penumpang telah meneruskan perjalanan ke destinasi menaiki bas ganti,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Rule 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 LN 166/59.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan ini diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tapah, Inspektor Mohd Zulhafiz Zainuddin di talian 017- 4006662,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan kepada orang ramai agar sentiasa memandu dengan berhemah dan rehat mencukupi agar dapat mengelakkan daripada berlaku kejadian yang tidak diingini,” katanya.
Sumber: Polis Daerah Tapah