KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah menyatakan, setakat hari ini, 27 orang telah dikenal pasti positif COVID-19 daripada sub-kluster Rembau, termasuk dua kes yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).
“Kluster ini mula dikesan apabila keputusan ujian COVID-19 didapati positif bagi beberapa guru di SMK Pedas.
“Penularan ini dipercayai berpunca daripada satu mesyuarat yang diadakan di sekolah berkenaan yang telah dihadiri oleh kes indeks, iaitu kes ke-448 yang merupakan salah seorang peserta perhimpunan di Sri Petaling.
“Guru-guru dan kakitangan sekolah yang dijangkiti seterusnya menjangkiti ahli keluarga mereka dan penduduk kampung sehingga terdapat tiga generasi jangkitan,” jelasnya dalam sidang media COVID-19 di sini, hari ini.
Bagaimanapun, tambah Noor Hisham, hasil siasatan juga mendapati terdapat aktiviti kunjung-mengunjung ke rumah saudara untuk melawat ahli keluarga yang tidak sihat walaupun negara kini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sumber: KKM