
25 Penduduk Palestin Terbunuh Dipercayai Diserang Tentera Israel Ketika Tunggu Bantuan
Agensi pertahanan awam Gaza memaklumkan bahawa seramai 25 orang yang menunggu bantuan terbunuh selepas dipercayai diserang tentera Israel di selatan wilayah Palestin pada Selasa.
Memetik laporan AFP, ia bukan insiden pertama yang dialami oleh penduduk Palestin.
Jurucakap pertahanan awam, Mahmud Bassal memberitahu AFP bahawa 25 orang terbunuh dan berpuluh-puluh cedera apabila tentera Israel menyasarkan perhimpunan awam berhampiran kawasan Al-Alam dan Al-Shakoush.
Kejadian itu berlaku ketika mereka cuba untuk sampai ke pusat bantuan di barat laut Rafah, kira-kira dua kilometer dari tempat pengagihan bantuan yang disokong AS.
Tambahnya, lima orang terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah rumah di bandar Gaza ketika waktu subuh.
Bagaimanapun, pihak tentera Israel masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan kejadian terbabit.
Sementara itu, ribuan rakyat Palestin berkumpul setiap hari dengan harapan akan mendapat catuan makanan. Selepas lebih 20 bulan serangan Israel di Palestin, berlakunya kebuluran yang sangat dahsyat di sana.
Menurut angka yang dikeluarkan pada Sabtu oleh Kementerian Kesihatan di Semenanjung Gaza, sekurang-kurangnya 450 orang telah terbunuh dan hampir 3,500 cedera akibat tembakan Israel ketika mereka menunggu untuk mendapatkan bantuan sejak akhir Mei.
Kebanyakan daripada mereka berada berhampiran tapak yang dikendalikan oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza.
Sementara itu, pemimpian pembangkang Israel, Yair Lapid, pada Selasa menggesa serangan di Gaza dihentikan selepas Israel mengumumkan persetujuan gencatan senjata dengan Iran.
“Sudah tiba masanya untuk menyelesaikannya di sana (Gaza) juga. Bawa balik tebusan, tamatkan perang,” katanya.
Sumber: AFP