KOTA BHARU, 11 Nov (Bernama) — Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) telah memakaikan gelang pengawasan COVID-19 kepada sejumlah 246 individu dari zon merah yang memasuki Kelantan setakat semalam, kata Pengarah Kesihatan Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 234 individu dipakaikan gelang berwarna merah jambu manakala selebihnya hijau selaras dengan peraturan pemakaian gelang pengawasan COVID-19 yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Kelantan pada Isnin lepas.
“Semua individu yang dipakaikan gelang berkenaan mematuhi arahan yang diberikan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara Peringkat Kelantan di Kompleks Darul Naim di sini hari ini.
Pemakaian gelang merah jambu dikenakan kepada individu dari zon merah dan mereka diwajibkan menjalani ujian calitan serta kuarantin kendiri selama 14 hari manakala gelang hijau dipakaikan kepada para pegawai termasuk golongan orang kenamaan (VIP) dari zon merah yang ke Kelantan atas urusan rasmi.
Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata kesemua gelang dipakaikan kepada individu yang melalui sekatan jalan raya (SJR) di pintu masuk sempadan negeri itu membabitkan daerah Gua Musang, Jeli dan Pasir Puteh termasuk Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dekat sini.
“Seramai 20 hingga 25 pegawai kesihatan ditugaskan di setiap lokasi SJR manakala 50 pegawai kesihatan ditempatkan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.
“Pihak berkaitan juga akan sentiasa memantau pematuhan pemakaian gelang itu termasuk prosedur operasi standard (SOP) di tempat awam dari semasa ke semasa,” katanya.
Mengambil maklum peningkatan kes COVID-19 di Kelantan, Dr Zaini menyeru rakyat negeri itu agar terus mematuhi SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan bagi membendung penularan jangkitan virus tersebut.
“Setakat ini, keadaan masih lagi terkawal di Kelantan namun diharapkan agar rakyat patuh SOP seperti amalkan penjarakan fizikal, sentiasa memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam dan elakkan berada di tempat sesak. Kita jaga kita,” katanya.
Sumber: BERNAMA