PUTRAJAYA, 20 Ogos – 24 individu yang menjalankan kegiatan pelacuran antara 117 yang ditahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada 117 yang ditahan, 91 individu telah dikenakan kompaun manakala 26 lagi direman.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk gagal menyediakan peralatan dan catitan keluar masuk (37 individu), tidak memakai pelitup muka (8), premis beroperasi lebih masa (2) dan menjalankan aktiviti pelacuran (24).
“(Turut sama) aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (46),” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan PKPP, hari ini.
Dalam pada itu, 64 sekatan jalan raya Op Benteng turut dijalankan di seluruh negara bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Bagaimanapun, tiada sebarang tangkapan yang dilaporkan.
Sementara itu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengadakan 380 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing dan kesemua mereka didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Dalam masa sama, pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melakukan 992 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP.
“Didapati 980 premis mematuhi SOP manakala 11 diberi nasihat dan satu (1) diberi amaran kerana tidak patuh SOP,” tambahnya yang turut menjelaskan tentang bekalan barangan keperluan asas yang masih mencukupi.
Sumber: Majlis Keselamatan Negara