SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengeluarkan sebanyak 215 saman dan 137 tindakan advokasi terhadap peniaga yang menjaja di persimpangan lampu insyarat di seluruh negara. Tindakan ini dilakukan menerusi Ops Khas Penjaja Jalanan.
Menurut Timbalan Pengarah I, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain, 11 tindakan rampasan turut dibuat dalam Ops Khas yang bermula dari 13 hingga 31 Disember tersebut.
Menurutnya, Ops Khas yang dijalankan selama 19 hari itu dilakukan bagi mengurangkan risiko kemalangan terhadap pengguna jalan raya dan penjaja itu sendiri.
Tambahnya, aktiviti jualan seumpama itu adalah satu kesalahan di bawah Kaedah 10A (1) Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan 1959 (LN 166/59) yang menyatakan tiada urusan jual beli di persimpangan atau mana-mana jalan raya.
Oleh itu, Mohd Nadzri memberitahu bahawa pihaknya menyeru agar semua penjaja yang menjual jeruk mangga atau apa sahaja makanan dan minuman supaya berhenti menjaja di persimpangan lampu insyarat serta persimpangan jalan raya demi keselamatan bersama.
Sumber: Sinar Harian