
Kuala Lumpur, 16 Oktober 2024 – Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Wilayah persekutuan (PPZ-MAIWP) pada hari ini menganjurkan Majlis Mesra Majikan 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Mjlis disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi PPZ-MAIWP, Encik Mohammed Hassan.
Majlis ini mendapat sambutan dengan penglibatan 158 majikan daripada sektor kerajaan dan swasta di sekitar Wilayah Persekutuan.
Dihadiri lebih 300 peserta, majlis ini dianjurkan untuk menyampaikan maklumat terkini mengenal perkhidmatan dan tawaran PPZ-MAIWP bagi memudahkan kakitangan sektor awam dan swasta untuk membuat potongan gaji terutamanya melalui majikan-majikan mereka.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi PPZ-MAIWP, Encik Mohammed Hassan berkata, ini merupakan kali ketiga majlis ini dianjurkan dan ianya dilihat sebagai salah satu platform komunikasi untuk menyampaikan maklumat zakat serta menambahbaik pengurusan Skim Potongan Zakat Bulanan.
“Skim potongan zakat bulanan merupakan antara saluran bayaran zakat yang menjana kutipan yang tertinggi dan konsisten untuk disalurkan kepada lebih 180,000 penerima di Wilayah Persekutuan” katanya.
Sempena majlis ini juga, PPZ-MAIWP telah menyampaikan Anugerah Majikan Terbaik kepada 20 majikan terpilih sebagai tanda penghargaan kerana telah memberikan kerjasama yang cemerlang dalam menguruskan bayaran potongan zakat bulanan kakitangan.
Pemilihan majikan adalah berdasarkan beberapa kriteria seperti :
i. Majikan yang membuat bayaran potongan zakat kakitangan pada bulan semasa. Peningkatan peratusan jumlah kutipan tahunan zakat melalui potongan zakat bulanan berbanding tahun sebelum.
ii. Majikan yg berjaya meningkatkan bilangan pembayar zakat melalui potongan gaji sekurang kurangnya 80% kakitangan muslim serta melayakkan majikan utk mendapatkan wakalah sebanyak 37.5%.
Antara majikan yang menerima anugerah ini ialah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Bank Islam Malaysia Berhad, Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd, Shell Business Service Centre Sdn Bhd, Universiti Malaya, Al Rajhi Banking & Investment Corporation (M) Sdn Bhd, Prokhas Sdn Bhd, dan Koperasi Ladang.
Majikan lain yang turut menerima anugerah ini termasuklah GMA Resources Sdn Bhd, Payment Network Malaysia Sdn Bhd, Markas Angkatan Tentera Malaysia, Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Rahim & Co International Sdn Bhd, Keretapi Tanah Melayu Berhad, Kementerian Kesihatan Malaysia, International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF), Winner Venture Sdn Bhd dan Digital Nasional Berhad.
Dalam majlis yang sama, PPZ-MAIWP turut melancarkan sistem MyMajikan bagi menggantikan sistem e-FEM dengan menambah baik ciri-ciri baharu yang lebih mesra pengguna untuk memudahkan urusan pembayaran potongan gaji zakat kakitangan. Melalui sistem baharu ini, majikan boleh terus membuat bayaran secara dalam talian, memantau proses bayaran, menyemak rekod bayaran lepas serta banyak lagi fungsi lain.
Turut diadakan penyerahan sumbangan Kafalah Muzakki atau khairat kematian kepada waris kakitangan MATRADE yang merupakan pembayar zakat PPZ-MAIWP. Untuk rekod, kutipan zakat setakat Januari hingga September 2024 adalah sebanyak RM686,524,377.48 dengan jumlah pembayar sebanyak 407,613 orang.