20 Dilapor Hilang Selepas Ikut Wanita Dakwa Terima ‘Wahyu’ Dunia Akan Kiamat Masuk Hutan
Seramai 20 orang termasuk lima kanak-kanak masih hilang di Venezuela selepas melakukan upacara rohani yang diketuai oleh seorang wanita yang mengatakan bahawa dunia akan kiamat.
Wanita berusia 57 tahun itu, dikatakan pada mulanya memujuk seramai 40 orang di bandar Tachira, La Grita untuk menyertai kumpulannya mengadakan aktiviti kerohanian di Taman Negara Juan Pablo Penaloza pada 22 Ogos lalu, lapor akhbar La Nacion.

Wanita itu didakwa memberitahu kumpulan itu bahawa mereka akan mengadakan upacara kerohanian untuk bertemu dengan ‘tuhan’ di satu kawasan yang tidak diketahui lokasi sebenar di taman tersebut.
Mereka yang mengikuti upacara itu sepatutnya pulang Khamis lalu, namun dilaporkan hilang selepas tidak kembali ke rumah masing-masing.
Menurut laporan La Nacion, beberapa individu mula menarik diri dari kumpulan itu selepas wanita tersebut mula berkelakuan aneh dan mengarahkan kumpulan untuk membuang telefon bimbit mereka.
Pihak berkuasa berkata pada hari Rabu bahawa sembilan daripada individu yang hilang adalah daripada keluarga yang sama dan kumpulan itu bergerak dengan menggunakan dua buah kenderaan.

Datuk Bandar La Grita Juan Carlos Escalante berkata, 160 anggota daripada pasukan pencari dan menyelamat serta agensi penguatkuasaan undang-undang sedang mencari kumpulan itu. Dron dan anjing pengesan juga dikerahkan bagi meluaskan kawasan pencarian.
Isnin lalu, pihak berkuasa menemui sebuah ladang terbiar di mana terdapat beberapa helai pakaian serta makanan ditinggalkan di kawasan tersebut.
Menurut penduduk tempatan, wanita itu telah menubuhkan kumpulan agamanya sendiri yang kerap berkumpul untuk mengadakan sesi berdoa bagi mereka yang menghidap penyakit.

Sebilangan penduduk berkata, kumpulan itu bagaimanapun menukar aktiviti daripada amalan keagamaan kepada bersifat fanatik dengan ahli-ahlinya sering memukul dada mereka ketika bercakap mengenai pegangan agama kumpulan tersebut.
Sejak Mac lalu, tiada seorang pun ahli kumpulan itu dibenarkan menonton televisyen dan dipaksa untuk berdoa pada pukul 3 pagi setiap hari, lapor laman berita Impacto Venezuela.
Pengikut wanita pula digesa supaya membasuh rambut mereka dan tidak boleh menampakkan muka mereka apabila keluar dari rumah.
Wanita itu dikatakan belum berkahwin dan menjalankan aktiviti kumpulannya di gerai makanan yang dimiliki oleh kakaknya.
Sumber: Daily Mail