2 Negeri, 1 Wilayah Persekutuan Diramal Hujan Lebat Malam Ini
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di dua negeri dan satu Wilayah Persekutuan (WP) sehingga jam 9 malam ini.
Menurut kenyataan itu, beberapa daerah di negeri seperti Sarawak, Sabah dan seluruh WP Labuan diramal hujan.
"Di Sarawak, kawasan yang diramal hujan adalah Sri Aman, Sarikei (Pakan dan Julau), Sibu (Kanowit dan Selangau), Kapit (Song, Kapit dan Belaga), Bintulu (Tatau dan Sebauh), Miri (Beluru, Telang Usan dan Marudi) dan Limbang.
"Manakala di Sabah pula melibatkan Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort dan Nabawan), Pantai Barat (Papar, Ranau dan Kota Belud) dan Sandakan (Telupid, Kinabatangan dan Beluran)," maklum kenyataan itu.
Sehubungan itu, penduduk di kawasan yang dinyatakan dinasihatkan supaya berwaspada dengan perubahan cuaca yang mendadak ini dan memastikan keselamatan diri serta keluarga terjamin.
Orang ramai juga dinasihatkan agar mengelakkan aktiviti luar dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai amaran cuaca daripada pihak METMalaysia melalui saluran rasmi.
Langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengurangkan risiko sebarang kejadian tidak diingini akibat cuaca buruk yang diramalkan melanda kawasan-kawasan tersebut.