HANGZHOU, 31 Dis (Bernama) — Dua terbunuh manakala tujuh yang lain hilang selepas sebuah kapal kargo membawa 13 anak kapal karam pada Rabu di wilayah Zhejiang timur China.
Agensi berita Xinhua melaporkan pusat mencari dan menyelamat maritim wilayah itu menerima panggilan kecemasan kira-kira 3.40 petang Rabu.
Kapal dengan muatan 4,700 tan simen dalam perjalanan dari Wuhu ke Xiamen itu karam akibat gelombang kuat, kira-kira dua batu nautika di utara pulau Cezi di kota Zhoushan.
Empat kru berjaya diselamatkan dan pihak berkuasa tempatan telah menghantar lebih 20 kapal untuk menjalankan misi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang.
Sumber: BERNAMA