ISKANDAR PUTERI, 21 Jun (Bernama) — Sebanyak 153,712 unit perumahan rakyat atau rumah mampu milik masih gagal dibina pemaju hartanah di negeri ini sejak 25 tahun lepas, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini diberitahu.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata angka tersebut diperoleh daripada Data Kelulusan Kebenaran Merancang (KM) dan Pelan Susun Atur bagi setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.
Beliau berkata kegagalan pembinaan itu perlu diatasi segera dengan strategi dan pemantauan yang berkesan, lebih-lebih lagi kini terdapat banyak projek perumahan lebih mahal semakin rancak dibina.
“Sehubungan itu, penubuhan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) yang menggantikan fungsi Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan adalah manifestasi kepada iltizam serta komitmen kerajaan negeri untuk memperbanyakkan lagi segmen perumahan khususnya bagi kumpulan B40 dan M40.
“Kerajaan negeri telah meminta PKPJ untuk merangka pembentukan Jawatankuasa Perancangan, Rekabentuk dan Semakan (PDRC) yang berperanan untuk menilai, memantau, dan memudahcara permohonan cadangan pembangunan perumahan mampu milik.
“Jawatankuasa itu akan dianggotai oleh pelbagai jabatan serta agensi berkaitan seperti PBT, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Johor, PlanMalaysia@Johor dengan agensi berkenaan akan menjadi platform utama kepada inisiatif pembinaan segmen perumahan bagi kumpulan B40 dan M40,” katanya ketika menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Pertama DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail di Kota Iskandar, di sini, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Pandak Ahmad (BN-Kota Iskandar), Anuar Abd Manap (BN-Pemanis) dan Abdul Aziz Talib (BN-Maharani) mengenai perkembangan, status serta cadangan kerajaan negeri dalam pembangunan perumahan mampu milik di negeri ini.
Dalam pada itu, Mohd Jafni (BN-Bukit Permai) berkata PKPJ juga akan menjadi pangkalan data berpusat bagi memastikan koordinasi yang lebih berkesan bagi pembangunan perumahan mampu milik dan transit.
Menurutnya, ia membabitkan pembangunan perumahan kategori itu yang dibangunkan agensi kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan dan pemaju hartanah swasta.
“Berdasarkan kepada rangka kerja awal, perjumpaan bersama pemaju hartanah dan KM PBT, kita sasarkan 21,139 unit perumahan mampu milik akan mula dibina secara berperingkat menjelang 2026. Malah untuk akhir 2022 dan 2023 nanti, terdapat 5,033 rumah telah siap dibina dan ditawarkan,” kata beliau.
— BERNAMA