Polis filipina Bunuh Mayat tasik
Gambar: AFP

15 Polis Filipina Disiasat Babit Kes Bunuh Puluhan Penyabung Ayam

Iqbal Yasir

15 Polis Filipina Disiasat Babit Kes Bunuh Puluhan Penyabung Ayam

MANILA — Pasukan mencari dihantar ke Tasik Taal di selatan ibu negara Filipina bagi mencari puluhan mayat penyabung ayam yang dipercayai dibunuh oleh polis tempatan, lapor Metro UK.

Menurut Jabatan Kehakiman, seramai 15 pegawai dan anggota polis disiasat berhubung misteri kehilangan penyabung ayam yang berlaku pada 2022 di negara itu.

Kes itu mencuri perhatian kembali selepas seorang saksi dalam satu temu bual televisyen mendakwa bahawa mengetahui lokasi mayat-mayat tersebut dibuang.

Susulan maklumat baharu itu, Setiausaha Kehakiman Filipina, Crispin Remulla, memaklumkan bahawa beberapa saksi lain turut tampil menyalurkan maklumat berhubung lokasi yang dipercayai mayat dibuang ke dalam kawasan tasik seluas 230 kilometer persegi itu.

Difahamkan, pihak berkuasa turut meminta bantuan teknikal daripada kerajaan Jepun, termasuk pemetaan dasar tasik yang mencecah kedalaman sehingga 172 meter di beberapa lokasi, bagi mempercepat usaha pencarian.

Ketua Polis Negara, Nicolas Torre, berkata pihak berkuasa perlu bertindak segera memandangkan musim taufan semakin hampir, namun yakin peralatan sedia ada mencukupi untuk melancarkan operasi pencarian.

Untuk makluman, aktiviti sabung ayam merupakan sukan pertaruhan yang sangat popular di Filipina, melibatkan ayam jantan yang bertarung hingga mati dengan bilah tajam diikat pada kaki. Tambahan lagi, jutaan wang peso dipertaruhkan dalam sukan ini setiap minggu.

Sewaktu pandemik COVID-19, siaran langsung secara dalam talian bagi sukan ini meningkat secara mendadak.

Bagaimanapun, bekas Presiden Rodrigo Duterte mengharamkan sabung ayam siaran langsung pada 2022 selepas kegiatan itu dikaitkan dengan pelbagai isu, namun siaran tidak berlesen masih diteruskan secara haram.

Kesemua lelaki yang hilang dipercayai terlibat dalam sabung ayam siaran langsung dan didakwa terlibat dalam penipuan dalam pertandingan tersebut.

Sumber: Metro UK

BACA: Pembinaan ECRL: Lorong Arah Kuantan Lebuhraya KL-Karak Ditutup Hingga 31 Ogos