14 kucing terperangkap dalam kebakaran
Gambar: Itshambali via SCDF

14 Kucing Terperangkap Dalam Kebakaran, Ditemui Tidak Sedarkan Diri

Faiz Mustafa

Sebanyak 14 ekor kucing yang terperangkap dalam satu kebakaran di sebuah rumah di Singapura baru-baru ini ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Menurut Singapore Civil Defence Force (SCDF), kebakaran tersebut berlaku di Blok 422, Jalan Fajar di sana pada 21 April, kira-kira 8:30 pagi hari kejadian.

“Kebakaran tersebut melibatkan barang/kandungan yang berada di kawasan servis (yard) di sebuah rumah di tingkat dua blok berkenaan.

“Bomba dari Balai Bomba Bukit Batok masuk ke dalam lokasi kebakaran secara paksa bagi memadamkan api menggunakan tiga beg galas buih udara mampat,” maklum kenyataan itu.

Difahamkan, jumlah mangsa yang terlibat tidak dinyatakan, namun apa yang lebih menyayat hati adalah sejumlah 14 ekor kucing yang nyaris maut ditelan api marak.

“SCDF turut berjaya menyelamatkan 14 ekor kucing yang ditemui tidak sedarkan diri dalam unit tersebut.

“Anggota bomba, sebahagian daripada mereka dilatih sebagai juruteknik perubatan kecemasan.

“Mereka ‘membekalkan’ oksigen serta menjalankan prosedur Cardio Plumonary Resuscitation (CPR) ke atas kucing-kucing tersebut,” tambah kenyataan itu.

14 kucing terperangkap dalam kebakaran
Gambar: Itshambali via SCDF

Bagaimanapun malangnya, daripada 14 ekor kucing tersebut, hanya 13 daripadanya sahaja yang berjaya diselamatkan, manakala seekor lagi telah mati.

Selain itu, difahamkan seramai 20 penghuni diarah mengosongkan kediaman mereka sebagai langkah berjaga-jaga (ketika itu).

Dalam masa sama, punca kebakaran masih dalam siasatan setakat ini.

Berita usaha menyelamat kucing tersebut meraih perhatian segenap warga media sosial, lebih-lebih lagi bagi pencinta haiwan dan seumpamanya.

“Tidak pasti jika mereka telah dilatih untuk selamatkan kucing. Tetapi mereka mesti akan memberikan (pertolongan) yang terbaik. Anda telah bertindak dengan baik, terima kasih,” kata seorang warganet, Norliza Amin.

“Terima kasih hero tempatan kami. Mujur semuanya selamat dan boleh didengari (bunyi kucing). Ia bukan jadi masalah (sama ada mangsa) manusia ataupun haiwan,” ujar seorang warganet, Jessie Jeo.

Sementara itu, seorang lagi warganet, Norberta Naomi meluahkan, haiwan yang menjadi mangsa bencana alam juga sepatutnya layak diberikan pertolongan.

“Inilah yang sepatutnya, haiwan juga adalah makhluk ciptaan Tuhan dan mereka ada hak untuk hidup di dunia ini seperti kita, manusia.

“Sehinggalah tiba waktu nanti, semua daripada kita akan meninggalkan dunia ini. Tindakan yang terbaik, teruskan,” katanya.

Sumber: SCDF