Gambar Via Bernama

138 Kematian Direkod Hari Ini, Jumlah Tertinggi Sejak Pandemik Melanda Negara

Sofea

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) — Malaysia merekodkan angka kematian baharu COVID-19 yang tertinggi hari ini dengan 138 kes menjadikan kumulatif kematian sebanyak 6,866 sejak pandemik itu melanda negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini memaklumkan daripada jumlah itu, 128 kematian membabitkan warganegara dan 10 adalah warga asing.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 46 kematian ialah di Selangor diikuti Negeri Sembilan (20), masing-masing 16 di Kuala Lumpur dan Johor; Pahang (12), Melaka (11), Kedah (tujuh), Perak (empat), Pulau Pinang (tiga), Terengganu (dua) manakala satu di Sabah,” katanya.

Beliau juga berkata sebanyak 6,629 kes sembuh direkodkan menjadikan kumulatif pesakit yang pulih setakat ini ialah 779,171 orang.

“Daripada 12,528 kes harian (positif COVID-19) yang dilaporkan hari ini, 12,509 adalah kes tempatan manakala 19 kes import.

“Kes aktif kini sebanyak 119,814 manakala jumlah pesakit COVID-19 yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) seramai 908 orang dengan 425 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah kes harian itu juga, sebanyak 6,840 adalah daripada kategori 1 (tidak bergejala), 5,468 kes kategori 2 (bergejala ringan), 112 kes kategori 3 (radang paru-paru), 44 kes kategori 4 (radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen) dan 64 kes kategori 5 (kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan).

Beliau juga berkata sebanyak 28 kluster baharu dikesan dengan kluster aktif kini 906.

“Daripada jumlah kluster baharu itu, 19 merupakan kluster tempat kerja diikuti kluster komuniti (enam), kumpulan berisiko tinggi (dua) dan satu kluster pendidikan lain,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 berdasarkan kes yang dilaporkan semalam bagi seluruh negara ialah 1.19 dengan Putrajaya mencatat nilai Rt tertinggi pada 1.31.

“Terengganu 1.25 diikuti Negeri Sembilan (1.21), Kedah (1.20), Selangor (1.19), Melaka (1.18), Kuala lUmpur (1.17), Pulau Pinang (1.14), Kelantan (1.11), masing-masing 1.10 bagi Pahang dan Perak; Sabah (1.09) dan Johor (1.08) manakala Sarawak (0.92), Labuan (0.76) dan kosong bagi Perlis,” katanya.

Dr Noor Hisham juga berkata jumlah sampel COVID-19 bagi RT-PCR dan RTK-Ag yang diuji untuk tempoh 14 hari kebelakangan ini menunjukkan trend peningkatan dengan semalam sahaja 132,935 ujian telah dijalankan merangkumi 65,171 (RT-PCR) dan 67,764 (RTK-Ag).

Katanya Selangor menjalankan jumlah ujian tertinggi iaitu 46,681 diikuti Kuala Lumpur (16,500) dan Johor (10,611).

Sumber: BERNAMA