12 Penjawat Awam Daripada Setiap Agensi Disasar Dilatih Ilmu Pertahanan Awam
KAJANG, 30 Nov (Bernama) — Angkatan Pertahanan Awam (APM) menyasarkan 12 wakil daripada setiap agensi dan kementerian di seluruh negara untuk didedahkan dengan ilmu pertahanan awam selain dilatih menghadapi sebarang bencana atau darurat.
Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Aminurrahim Mohamed berkata terdapat lima peringkat kerajaan yang bermula daripada kerajaan tempatan, negeri, persekutuan, badan berkanun persekutuan dan badan berkanun negeri melibatkan keseluruhan 888 agensi.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 12 penjawat awam (satu skuad) disasarkan daripada agensi, badan berkanun dan kementerian untuk dilatih dan diberi pendedahan ilmu pertahanan awam oleh APM di bawah Akta Pertahanan Awam 1951 (Akta 221).
“Mereka dilatih untuk menghadapi situasi dan menguruskan bencana. Setelah itu, 12 orang yang telah didedahkan ilmu pertahanan awam ini juga akan dapat melatih, memberi pencerahan, pengetahuan, kemahiran (ilmu pertahanan awam) kepada orang lain dalam sesuatu agensi atau kementerian itu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Sukarelawan Penjawat Awam 2023 melibatkan 116 penjawat awam daripada pelbagai agensi dan kementerian di Ibu Pejabat Pertahanan Awam di sini hari ini.
Aminurrahim berkata APM giat memperkasakan masyarakat khususnya penjawat awam supaya peka dan terlatih dengan ilmu pertahanan awam selari dengan kefungsian APM.
Menurutnya objektif kursus asas sukarelawan penjawat awam 2023 ini adalah menggalakkan pendaftaran pegawai di bawah kementerian dan agensi sebagai Pasukan Sukarelawan Penjawat Awam.
Beliau berkata ia selaras dengan arahan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam untuk melatih seramai mungkin pegawai kerajaan dengan ilmu pertahanan awam sebagai pasukan sukarela untuk digerakkan sebagai task force dalam kerja-kerja bantuan serta khidmat kemanusian bagi tujuan semasa dan selepas bencana, selain meningkatkan motivasi penjawat awam dalam program kesukarelawan.
Terdahulu, kursus itu telah disertai 116 penjawat awam daripada pelbagai agensi dan kementerian antaranya Kementerian Pendidikan, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pertahanan dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.
Sumber: BERNAMA