
11 bayi maut dalam kebakaran yang dilaporkan berlaku di sebuah hospital di bandar Tivaouane, Senegal barat dalam satu kejadian semalam, lapor AFP.
Menurut AFP, Presiden Senegal, Macky Sall memaklumkan perkara tersebut melalui kenyataan di laman Twitter miliknya pada malam tadi.
“Saya baru sahaja menerima maklumat berkaitan 11 bayi yang baru dilahirkan maut akibat daripada kebakaran yang berlaku di sebuah hospital awam.
“Kepada ibu dan kelurga mereka, saya berduka cita dengan apa yang telah menimpa keluarga anda,” tulisnya menerusi laman Twitter, lapor AFP.
Difahamkan, kebakaran tersebut berlaku di Hospital Mame Abdou Aziz SY Dabakh di hab pengangkutan Tivaouane dan berpunca akibat litar pintas, menurut ahli politik Senegal, Diop Sy.
“Api merebak dengan sangat cepat. Walau bagaimanapun, tiga bayi yang baru sahaja dilahirkan berjaya diselamatkan,” jelasnya, lapor AFP.
Diifahamkan, menurut media tempatan, Hospital Mame Abdou Aziz SY Dabakh tersebut baru sahaja dibuka dan dirasmikan baru-baru ini.
Mengimbas kembali, kejadian yang hampir sama turut pernah berlaku pada akhir April lalu di bandar Linguere yang menyebabkan empat bayi baru dilahirkan terkorban.
Lapor NFP, kejadian itu berlaku disebabkan oleh kerosakan kompenan elektrik pada unit pendingin hawa di bahagian wad bersalin.
Namun lebih memilukan, seorang wanita hamil yang sedang menunggu untuk menjalani pembedahan secara caesar turut maut dalam insiden itu.
Sehubungan itu, kematian wanita tersebut menimbulkan kemarahan rakyat di seluruh negara berikutan sistem kesihatan awam yang teruk di Senegal.
Dalam masa sama, tiga bidan hospital turut dikenakan hukuman enam bulan penjara pada 11 Mei lalu di Mahkamah Tinggi Louga kerana gagal membantu pesakit yang dalam bahaya.
BACA JUGA: Pilu, Bayi Meninggal Dunia Dalam Perut, Dipercayai Dibelit Tali Pusat
Sumber: AFP via France 24