1,020 Murid Selangor Berisiko Kemurungan: Perkukuh Sistem Kaunselor Sekolah Secara Menyeluruh
Tiada Kategori

1,020 Murid Selangor Berisiko Kemurungan: Perkukuh Sistem Kaunselor Sekolah Secara Menyeluruh

Siti Sakinah

1,020 Murid Selangor Berisiko Kemurungan: Perkukuh Sistem Kaunselor Sekolah Secara Menyeluruh

Petaling Jaya, 8 Julai 2025 – NGO Empati menggesa kerajaan dan semua pihak berkepentingan untuk bertindak segera membaik pulih sistem sokongan psikososial di sekolah, susulan pendedahan oleh Exco Kesihatan Awam Selangor, YB Jamaliah Jamaluddin bahawa 1,020 murid sekolah menengah di negeri ini berisiko tinggi mengalami kemurungan.

Menurut Presiden NGO Empati, Syahida Zulkarnain, kenyataan ini bukan sahaja membimbangkan, malah menuntut pembaharuan dasar yang jelas dan sistematik.

“1,020 murid itu hanyalah permukaan gunung ais – di bawahnya mungkin ribuan lagi sedang menjerit tanpa suara. Jika kita tidak bertindak hari ini, mereka mungkin akan hilang esok – secara emosi, akademik atau lebih tragik, nyawa mereka sendiri,” katanya.

Di Mana Peranan Kaunselor Sekolah?

NGO Empati mendapati bahawa ramai kaunselor sekolah hari ini terbeban dengan tugas pentadbiran, dan tidak diberi ruang mencukupi untuk menjalankan fungsi emosi dan sokongan psikososial kepada pelajar. Dengan nisbah kaunselor kepada pelajar yang mencecah 1:500 atau lebih, serta ketiadaan latihan berterusan dan fasiliti yang sesuai, peranan kaunselor semakin terpinggir.

Cadangan NGO Empati

NGO Empati menegaskan bahawa penyelesaian bukan terletak pada program jangka pendek semata-mata, tetapi melalui reformasi dasar. Antara cadangan konkrit termasuklah:

  1. Garis panduan etika dan fungsi kaunselor serta Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) yang jelas dan berkuasa.

  2. Latihan berkala untuk kaunselor dalam modul seperti Psychological First Aid, trauma-informed care dan komunikasi berasaskan empati.

  3. Pemerkasaan PRS secara nasional agar pelajar tahu mereka tidak bersendirian.

  4. Ruang kaunseling selamat dan tidak menghakimi di setiap sekolah.

  5. Promosi kesedaran kesihatan mental di sekolah sebagai norma dan bukan stigma.

Kesihatan Mental Adalah Keperluan Asas Pendidikan

“Sudah tiba masa kita hentikan naratif ‘murid lemah tidak tahan tekanan’ dan mula membina struktur sokongan yang lebih berperikemanusiaan. Kaunselor bukan pilihan – mereka adalah tulang belakang pelajar,” tegas Syahida.

NGO Empati, yang dirasmikan oleh YBTM Adam Adli pada 2022, kini mempunyai lebih 600 sukarelawan termasuk mereka yang mengalami isu kesihatan mental sendiri. Empati aktif di peringkat akar umbi dengan remaja berisiko, pelajar juvana dan sekolah di Malaysia.