102 Ekor Ular Ditemukan “Bersarang” Di Belakang Halaman Rumah
SYDNEY — Sekurang-kurang 102 ekor ular berbisa ditemukan di belakang halaman sebuah rumah di Sydney, lapor BBC.
Penangkap reptilia tempatan, Cory Kerewaro berkata, dia dan pasukannya pada awal menerima aduan selepas seekor anjing peliharaan dipatuk ular.
Sejurus tiba di lokasi itu, mereka terkejut apabila menemui ular berbisa itu dalam jumlah yang banyak.
“Ketika proses penangkapan, saya menemui 40 ekor ular hitam spesies perut merah. Empat ekor daripadanya telah menjadi ibu kepada lebih 40 anak ular,” katanya.
Tambahnya, lima ekor ular dewasa dan 97 ekor anak ular yang berjaya ditangkap itu kini dikuarantin dan akan dilepaskan ke taman negara setelah cuaca menjadi lebih sejuk.
Tangkapan ini merupakan rekod baharu untuknya. Kebiasaannya reptilia ini ditangkap antara lima hingga 15 ekor sehari.
Untuk makluman, ular merah perut hitam adalah antara spesies ular berbisa yang paling kerap di Australia.
Anaconda Hijau Maut Digilis, 40 Ekor Anak Terburai Atas Jalan
Terdahulu, seekor ular anaconda gergasi hijau dilapor mati akibat digilis kenderaan hingga menyebabkan perut haiwan tersebut terburai, lapor portal The Sun UK.
Difahamkan, kejadian berkenaan berlaku di Lebuh Raya MT-338 di Porto dos Gauchos di Brazil.
Dalam satu rakaman yang menjadi tular di media sosial, perut ular anaconda gergasi berwarna hijau sepanjang kira-kira lima meter itu terbelah hingga memperlihatkan kira-kira 40 ekor anaknya.
Menurut The Sun UK, semua anak ular itu turut mati dalam kejadian terbabit.
Anak-anak ular tersebut rata-ratanya mempunyai bentuk yang sudah lengkap dan bersaiz kira-kira 1 kaki panjang. Keadaan fizikal ular tersebut menandakan anak-anak ular berkenaan sudah menghampiri tempoh kelahiran.
Tergolong dalam keluarga boa, ular anaconda gergasi hijau merupakan ular terberat di dunia. Ular tersebut boleh membesar hingga melebihi saiz 8 meter (panjang) dan 249 kilogram (berat).
Sumber: BBC