
10 Penumpang Terpaksa Dimasukkan Ke Hospital Selepas Bateri Yang Dibawa Dalam Pesawat Terbakar
Seramai 10 orang penumpang pesawat Spirit Airlines dimasukkan ke hospital selepas kebakaran bateri memaksa pesawat membuat pendaratan kecemasan di Florida.
Memetik NBCNews, penerbangan itu dilaporkan berlepas dari Dallas ke Orlando dan mereka terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Jacksonville pada Rabu lalu.
Anggota bomba yang dikerah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Jacksonville pada petang Rabu lalu dilaporkan menerima laporan berkenaan terdapat asap di kokpit pesawat, kata Kapten Jabatan Bomba dan Penyelamat Jacksonville, Eric Prosswimmer.
Bateri didapati telah terbakar di ruang atas tetapi tindakan pantas anak kapal dan penumpang penerbangan termasuk seorang pesara bomba berjaya memadamkannya.
Kebakaran itu berjaya dipadamkan sebelum pasukan bomba sampai ke lokasi kejadian tersebut.
“Mereka melakukan kerja yang luar biasa,” kata Prosswimmer.
Sementara itu, sekurang-kurangnya seramai 10 orang telah dibawa ke hospital termasuk penumpang dan anak kapal. Namun kesemuanya berada dalam keadaan baik dan tidak mengancam nyawa.
Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan itu berkata bahawa penerbangan Spirit Airlines 259 telah berlepas dari Dallas sejurus selepas jam 2 petang waktu tempatan.
Pesawat itu kemudiannya terpaksa mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Jacksonville pada jam 3.50 petang disebabkan kebakaran bateri.
Kebakaran dikatakan berpunca dari dek kabin atas, lapor rakan media NBC iaitu WLTV di Jacksonville.
Wakil Spirit berkata, barang peribadi penumpang telah mencetuskan kebakaran tersebut. Apabila diminta untuk mendapatkan komen, syarikat penerbangan itu tidak mengulas dengan lebih lanjut.
Seorang saksi yang berada di atas pesawat ketika kejadian itu berlaku berkata, penumpang dan anak kapal berjaya memadamkan api tersebut.
“Ada seorang pesara bomba yang bertindak pantas termasuk seorang kru penerbangan. Mereka cuba menyiram air ke atas objek yang terbakar tersebut dan seorang lagi lelaki mengambil baldi.
“Pesara bomba itu mencapainya dan memadamkannya, ia mengambil masa kira-kira 20 minit,” kata seorang saksi bernama Kerri Arakawa, menurut WTLV.
“Juruterbang membawa kami mendarat dengan pantas. Ia menarik dan pendaratan pun sangat lancar untuk semua perkara. Tetapi ia agak menakutkan untuk seketika sehingga kami akhirnya berjaya mendarat.” tambah Arakawa lagi.
Sumber: NBCNews