Pada Ahad (7 Ogos), 10 orang daripada kontinjen Sri Lanka bagi Sukan Komanwel di Birmingham dilaporkan hilang dan disyaki sebagai satu percubaan untuk menetap di Britain, lapor urus setia temasya sukan tersebut kepada pihak AFP.
Sembilan orang atlet dan seorang pengurus telah hilang selepas menyelesaikan acara mereka, menurut salah seorang ahli kontinjen Sri Lanka.
Tiga daripada mereka adalah atlet judo, Chamila Dilani; pengurusnya yang bernama Asela de Silva, dan atlet tinju Shanith Chathuranga yang dilaporkan hilang sejak minggu lepas.
Kredit: AFPKehilangan mereka menyebabkan pegawai kontinjen Sri Lanka terpaksa membuat aduan kepada pihak polis di wilayah itu.
“Sejak itu, lagi tujuh orang ahli kontinjen menghilangkan diri.
“Kami mengesyaki bahawa mereka mahu menetap di UK, berkemungkinan untuk mendapatkan perkerjaan,” pegawai itu berkata, tanpa mendedahkan identiti insan-insan yang telah hilang.
Difahamkan, pengurusan kontinjen yang memiliki kekuatan 160 orang ahli tersebut memegang semua pasport untuk memastikan kepulangan kesemua mereka ke negara asal.
Namun begitu, tindakan yang diambil oleh pihak pengurusan masih tidak dapat menghalang beberapa ahlinya daripada pergi meninggalkan kontinjennya.
Maklum balas daripada pihak polis
Dalam pada itu, pihak polis British berjaya mengesan lokasi tiga orang ahli yang hilang, tetapi disebabkan masing-masing tidak melanggar undang-undang tempatan dan memegang visa sah selama enam bulan, tiada tindakan susulan dilakukan.
Sementara itu, pihak polis West Midlands, Britain, berkata bahawa mereka sedang meneliti laporan enam warga Sri Lanka yang hilang dari temasya itu.
Bagaimanapun mereka telah menolak untuk memberikan komen mengenainya dengan lebih lanjut, termasuklah dakwaan terhadap jumlah 10 orang yang hilang secara keseluruhan.
Dalam masa sama, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri British juga enggan memberikan maklumat lebih lanjut mengenainya.
Kredit: Birmingham 2022 (Facebook)Untuk rekod, kontinjen Sri Lanka telah memenangi satu perak dan tiga gangsa dalam temasya tersebut setakat petang Ahad.
Rentetan peristiwa kehilangan atlet pada kejohanan lepas
Sebelum ini, pernah berlaku beberapa kes kehilangan atlet Sri Lanka dalam siri-siri kejohanan peringkat antarabangsa.
Gambar hiasan | Kredit: BBCPada Oktober tahun lepas misalnya, pengurus tinju Sri Lanka telah mengabaikan pasukannya dan menghilangkan diri di Oslo sewaktu kejohanan dunia.
Selain itu, ketika Sukan Asia yang diadakan di Korea Selatan pada 2014, dua atlet Sri Lanka berjaya melarikan diri dan masih tidak dapat dijumpai.
Kes kehilangan yang paling mengejutkan adalah pada 2004, apabila Sri Lanka tidak mempunyai pasukan bola baling kebangsaan disebabkan 23 ‘atletnya’ yang berpura-pura mewakili negara tersebut dan menghilangkan diri di Jerman sewaktu kejohanan berlangsung.
Sumber: AFP via The Straits Times