
Bak pepatah “biar jatuh terletak, jangan jatuh terhempas”, sebelum dihentikan dari kerja baik tuan punya diri untuk berbincang dengan cara baik untuk berhenti. Berhenti kerja memerlukan beberapa step seperti mana anda memulakan kerja dahulu.
Jangan bertindak melulu sehinggakan tiada adab untuk berhenti kerja. Pastinya ramai yang berpengalaman untuk berhenti kerja tetapi mengalami situasi yang sukar untuk memberitahu kepada majikan.
Apapun guna cara yang baik yang telah ditetapkan supaya nanti dalam resume tidak menjejaskan maklumat diri jika anda letakkan rujukan kerja dahulu.
Menimba pengalaman dan bertukar tempat kerja adalah lumrah kehidupan terutamanya dalam kalangan generasi millenial. Kena ingat, bila terima pekerjaan baharu bukan bermakna kerja lama tidak bagus dan ia bukan perkara negatif. Namun, cara dan adab seseorang yang ingin berhenti kerja itu memainkan peranan penting.

Mari kita ikuti perkongsian Dr Norizan Sharif dalam blognya telah menekankan 10 adab ketika berhenti kerja.
Pastikan betul-betul buat keputusan untuk berhenti sebelum beritahu majikan. Kalau masih teragak-agak, diamkan dulu.
Bincang dan maklumkan secara lisan hasrat untuk berhenti sebelum mengemukakan surat perletakan jawatan. Berikan majikan bayangan dulu. Sesetengah bos cepat terperanjat.
Bos juga ada perasaan. Belai perasaan itu. Biar dia menjadi orang pertama tahu kita nak berhenti kerja; bukan mendengarnya melalui orang lain.
Berikan notis perletakan jawatan mengikut tempoh yang sewajarnya. Sekiranya kontrak pekerjaan mensyaratkan dua bulan, patuhi syarat itu.

Sehingga saat terakhir kita meninggalkan tempat kerja, kita adalah staf – walaupun dalam tempoh bercuti. Usah lakukan perkara yang bertentangan dengan peraturan organisasi.
Berikan yang terbaik kepada organisasi sehinggalah kita menamatkan tugas. Memberikan notis perletakan jawatan bukanlah alasan untuk kita culas.
Walau apa sekali pun alasan kita berhenti, usah berikan orang lain tanggapan bahawa kita berhenti kerana tidak berpuas hati dengan majikan dan bos. Simpan ketat-ketat perasaan itu. Elakkan menulis buruk mengenai organisasi dan bos di media sosial, walaupun secara sindiran.
Berusaha untuk teruskan hubungan baik antara kita dan organisasi serta bos. Ucapkan penghargaan dan terima kasih kepada bos kerana berikan peluang. Mungkin suatu masa nanti dia boleh berikan peluang lain kepada kita lagi.
Apabila kita melangkah keluar, usah pandang ke belakang. Berilah peluang pengganti kita untuk melakukan apa yang terbaik. Ketap bibir kuat-kuat. Usah berikan teguran atau kritik dia, termasuklah di belakang. Biarkan dia melakukan sesuatu yang mungkin kita tak mampu lakukan dulu.
Usah minta orang kenang budi kita selama berkhidmat dulu. Ingatlah, amat sedikit manusia yang tahu kenang budi; sama seperti amat sedikit manusia yang mahu bayar hutang. Biarlah kita menjadi manusia yang seronok berbudi, tanpa mengharap orang kenang budi.
Dengan penjelasan daripada Dr Norizan, amatlah diharapkan kepada bakal bekerja atau bakal berhenti untuk sentiasa berada dalam keadaan positif dan mengamalkan adab-adab sebelum berhenti.
Sumber: Norizan Sharif, Fuville.com