Seramai 600 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) di Kuala Lumpur menerima bantuan Kembali Ke Sekolah bernilai keseluruhan RM120,000 menerusi kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Eco-Shop, dengan sokongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL).
Menerusi inisiatif ini, setiap pelajar menerima baucar Eco-Shop bernilai RM50 yang boleh ditebus di mana-mana cawangan Eco-Shop seluruh negara bagi pembelian barangan persekolahan. Selain itu, pelajar turut menerima bantuan kewangan RM150 daripada YWP dan DBKL yang disalurkan terus ke akaun Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah masing-masing.
Bantuan kewangan tersebut bertujuan menampung yuran PIBG serta keperluan kokurikulum dan sukan, sekali gus membantu mengelakkan keciciran pelajar serta memastikan mereka memulakan sesi persekolahan baharu dengan lebih yakin dan lengkap.
Majlis penyerahan bantuan yang berlangsung di Mayor’s Courtyard, Rumah Tangsi menghimpunkan 150 pelajar sekolah rendah dan menengah bersama guru pengiring daripada 30 buah sekolah sekitar Kuala Lumpur.
Pelajar yang terpilih dikenal pasti daripada keluarga B40, sekali gus mengukuhkan objektif program ini untuk menyediakan bantuan segera dan praktikal kepada golongan yang benar-benar memerlukan. Kerjasama ini juga membuka ruang untuk diperluaskan ke Putrajaya dan Labuan pada masa akan datang.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Dr Abdul Basir V. Kunhimohamed, kerjasama antara sektor korporat dan kerajaan ini membuktikan bahawa setiap pihak mempunyai peranan dalam memperkukuh komuniti dan menyokong generasi masa depan.
“Apabila kita bekerjasama dengan niat yang ikhlas, sumbangan kecil mampu membawa perubahan besar dalam kehidupan pelajar yang memerlukan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Eco-Shop Malaysia, Jessica Ng berkata, peningkatan kos sara hidup memberi kesan besar kepada keluarga terutamanya menjelang sesi persekolahan baharu.
“Kami melihat inisiatif ini bukan sekadar bantuan kepada pelajar, tetapi sebagai pelaburan jangka panjang untuk melahirkan generasi masa depan yang akan membentuk kemajuan Malaysia,” jelasnya.
Sebagai pelengkap kepada usaha ini, Eco-Shop turut melancarkan kempen Riang Ria Hari Sekolah yang berlangsung sehingga 11 Januari 2026. Menerusi kempen ini, ibu bapa boleh mendapatkan barangan keperluan sekolah termasuk alat tulis, makanan dan minuman pada harga tetap RM2.60, sekali gus membantu mengurangkan beban perbelanjaan keluarga.
Inisiatif ini membuktikan bahawa kekangan kewangan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada persediaan persekolahan anak-anak, selain menekankan pentingnya pilihan bijak dalam mengurus perbelanjaan keluarga.
Secara keseluruhan, kerjasama antara YWP, Eco-Shop, DBKL dan JPWPKL ini mencerminkan komitmen berterusan semua pihak dalam memperkasakan pendidikan serta membina sistem sokongan yang mampan demi kesejahteraan pelajar dan komuniti di Kuala Lumpur.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen Riang Ria Hari Sekolah, orang ramai boleh mengikuti Eco-Shop di Facebook (EcoShopMarketing), Instagram (@ecoshop_my), TikTok (@ecoshopmalaysia) dan XHS (eco-shop MY).
Maklumat berkaitan bantuan dan perkhidmatan YWP pula boleh didapati di www.yayasanwp.org.my.