KUALA LUMPUR, 26 Nov – Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada semua ahli Dewan Rakyat yang mendokong titah nasihatnya pada 28 Okt lalu.
Mengimbas kembali, Al-Sultan Abdullah pada ketika itu bertitah dan menasihati semua Ahli Parlimen agar memberi sokongan penuh terhadap Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan pada 6 Nov berikutnya.
Sehubungan itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda pada kali ini menzahirkan penghargaannya setelah Belanjawan 2021 yang dibentangkan telah mendapat sokongan serta kelulusan segenap ahli Dewan Rakyat hari ini.
“Seri Paduka Baginda mengalukan-alukan sokongan yang telah diberikan pada kelulusan tersebut bagi menjamin kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat, serta pemulihan ekonomi yang terkesan akibat COVID-19.
“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada ahli-ahli Dewan Rakyat yang telah mendokong titah nasihat Baginda pada 28 Okt lalu.
“Belanjawan 2021 amat penting kepada kerajaan dan pihak berkuasa, khususnya petugas barisan hadapan untuk mencetuskan dan melancarkan dasar serta usaha membendung dan menangani wabak COVID-19,” katanya dalam satu perutusan hari ini.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menghormati setiap parti politik yang berdaftar di negara ini, selain turut menghargai peranan dan amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas ahli Dewan Rakyat dalam membela kebajikan rakyat.
“Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda amat menghargai komitmen, semangat muafakat dan gandingan bahu setiap pihak kerana ianya amatlah penting bagi mengekalkan momentum pemulihan ekonomi demi kesejahteraan bersama.
“Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan keyakinan penuh kemampuan kerajaan untuk menerajui pentadbiran negara pada saat negara sedang diuji dengan pelbagai krisis ini,” tambah perutusan itu lagi.


Sumber: Istana Negara