Seremban, 11 April 2023 – Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) melalui Yayasan AmanahRaya hari ini berkongsi kegembiraan membuat persiapan baju raya bersama lima puluh tiga (53) anak-anak yatim dan asnaf menerusi Program Beli-belah Baju Raya di Pasar Raya Mydin Seremban 2.
Program yang disertai oleh penghuni dari tiga (3) buah rumah anak yatim dan asnaf sekitar Seremban ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat yang diadakan sepanjang tahun 2023 bagi meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik.
Yang Berusaha Encik Ahmad Feizal Sulaiman Khan, Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya dalam ucapannya berkata, ‘Usaha baik ini dijalankan bagi mendekati golongan yang kurang bernasib baik dan memerlukan perhatian. Kami tidak mahu mereka merasa tersisih menjelang Aidilfitri nanti.

Justeru, pada hari ini, kami membawa mereka membeli belah dan memilih pakaian dan keperluan yang mereka inginkan seperti baju melayu, sampin, songkok, baju kurung, tudung dan kasut kemeriahan agar sambutan Aidilfitri dapat mereka nikmati bersama-sama Sukarelawan AmanahRaya yang menemani mereka sepanjang proses beli-belah berkenaan.’
Selain itu, AmanahRaya turut berbesar hati menyediakan duit raya berjumlah RM300 setiap seorang dan sumbangan tersebut disampaikan kepada mereka dalam Majlis Iftar yang diadakan di Hotel Royale Chulan, Seremban. AmanahRaya telah memperuntukkan sebanyak lebih kurang RM30,000 dalam program kali ini.