YAB TPM Merangkap Menteri PETRA Ketuai Delegasi Malaysia Ke United Kingdom, 23-27 JUN 2024
PUTRAJAYA, 22 JUN 2024 – Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof akan mengetuai delegasi Malaysia ke United Kingdom dalam sesi lawatan kerja rasmi pada 23 hingga 27 Jun 2024.
Dalam rangka lawatan kerja rasmi tersebut, beliau dijangka menghadiri London Climate Action Week 2024 dan akan menyampaikan ucaptama dalam sesi High-Level Dialogue on Coal Phase-Out, atas jemputan Kerajaan United Kingdom. Penyertaan YAB Dato’ Sri Haji Fadillah ke sesi High-Level Dialogue ini cukup penting bagi mengetengahkan perspektif Malaysia dan juga negara sedang membangun dalam usaha peralihan tenaga.
Pendirian Malaysia agar peralihan tenaga perlu dilaksanakan secara adil dan saksama, termasuk dalam aspek coal phasing-out penting untuk diketengahkan di forum antarabangsa seperti London Climate Week. Ini kerana keperluan pembangunan ekonomi di negara-negara sedang membangun juga perlu diambil kira dalam aspirasi perubahan iklim dan peralihan tenaga global yang diterajui negara-negara maju.
Oleh itu, adalah penting supaya pendirian serta pelan tindakan negara untuk mengurangkan jejak karbon sektor bekalan elektrik melalui peningkatan kapasiti tenaga boleh baharu kepada sekurang-kurangnya 70% menjelang tahun 2050 serta komitmen untuk tidak membangunkan loji jana kuasa arang batu diketengahkan agar ia boleh dijadikan acuan peralihan tenaga yang adil dan saksama bagi negara-negara sedang membangun.
Pada masa yang sama, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah juga dijangka akan mengadakan lawatan teknikal ke:
a. Projek loji jana kuasa angin Vantage RE PLC, yang merupakan anak syarikat milik penuh TNB bagi meninjau dan mempelajari aspek pembangunan industri dan kawalan regulatori di UK menerusi perspektif pemaju dan pemilik projek;
b. Pertemuan dengan International Hydroelectric Association (IHA), yang merupakan pertubuhan antarabangsa bagi memayungi pihak berkepentingan dalam pembangunan hidroelektrik. Pertemuan ini antara lainnya akan menerokai bidang usaha sama bersama IHA bagi memanfaatkan potensi pembangunan hidroelektrik di Malaysia sebagai sumber bekalan elektrik baseload, terutamanya bagi pembangunan hidroelektrik di Sarawak; dan
c.Lawatan teknikal ke kemudahan rawatan air mentah dan air kumbahan milik Wessex Water, iaitu syarikat perkhidmatan air dan pembentungan di Bath, Barat London, yang dimiliki YTL Power International Berhad. Lawatan teknikal ini antara lainnya akan meninjau sistem rawatan air mentah termasuk pengurusan rawatan air sisa kumbahan yang dilakukan oleh pihak Wessex Water. Hasil lawatan ini diharap akan membolehkan usaha untuk menanda aras amalan terbaik kendalian perkhidmatan air dan pembentungan di UK dengan amalan di negara kita dilakukan.
Semasa berada di United Kingdom, YAB Timbalan Perdana Menteri juga dijadualkan akan bertemu dengan diaspora Malaysia di London bagi berkongsi mengenai usaha dan inisiatif pembangunan terkini negara, terutamanya dalam aspek peralihan tenaga.