Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Di saat kanak-kanak lain tersenyum riang menikmati zaman persekolahan, Muhammad Azwar Mohd Ariff yang berusia 12 tahun hanya mampu melihat dengan sayu.
Anak ini yang pernah menjadi Johan Tilawah al-Quran Peringkat Kedah 2018, kini bertarung melawan kanser otak sejak Oktober tahun lalu.
Penyakit yang dialaminya itu menyebabkan tahap penglihatan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sik itu kabur selain pergerakannya menjadi lemah dan terhad sehingga dia tidak dapat ke sekolah lagi.
Gambar : GoogleMenurut ibunya, Che Anisah Md Saad, 43, tiada apa yang diharapkan oleh Azwar selain penglihatannya kembali pulih supaya dia dapat membaca kembali ayat suci al-Quran.
Kerinduan dan kecintaan Azwar pada kalimat suci Allah itu terlalu mendalam sehingga waktunya diisi dengan alunan semua surah-surah yang dihafalnya sewaktu sihat.
Paling memilukan, kitab suci yang sudah tidak mampu lagi dibacanya itu sentiasa dipeluk dan dicium dalam tangisan.
Kata ibunya, biarpun dalam keadaan lemah, Azwar tetap bersolat seperti biasa dan tidak pernah sesekali meninggalkan tuntutan wajib itu.
Difahamkan, kanser Azwar masih berada di peringkat permulaan di mana doktor memaklumkan ketumbuhan dalam otaknya membesar sepanjang 8 sentimeter.
Dia yang telah menjalani pembedahan otak pada 23 Oktober tahun lalu bagi membuang cecair dan mengambil sampel kanser kini berulang-alik setiap bulan untuk menerima rawatan lanjut di Hospital Besar Pulau Pinang dan Hospital Alor Setar.
Sementara itu, pertemuan antara aktivis kemanusian serta kumpulan Amal Qaseh bersama Azwar bertukar hiba. Ramai yang tidak dapat menahan air mata apabila mendengar beberapa potong ayat al-Quran dialunkan anak ini dengan suara yang merdu dan sayu.
Moga perkongsian kisah ini menyuntik sedikit sebanyak rasa insaf dalam diri. Walau dalam keadaan merangkak sekalipun, belajarlah mencintai kitab Allah ini kerana sesungguhnya pada hari kiamat nanti al-Quran akan datang sebagai pembawa syafaat kepada yang membacanya.
Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian ke akaun Maybank bernombor 152040392473 atas nama
Che Anisah Md Saad atau menghubungi Mohd Ariff Ismail (ayah) di talian
017-5517084.
Sumber : Muhammad Ammar Mubassyir Abdul Hadi/GPS Bestari