Wartawan TV Kanada Tehuyung-Hayang Laporkan Berita, Hampir Pengsan Ketika Tengah “Live”
Seorang wartawan Kanada yang sedang melakukan lintas langsung ketika membuat liputan hampir pengsan, lapor Daily Mail.
Ketika menyampaikan segmen berita pukul enam CTV, dia sempat memberitahu kepada hos bahawa dirinya tidak sihat dan wajahnya kelihatan pucat serta mula mengulangi kata-katanya.
Bagaimanapun, laporannya itu dipendekkan manakala hos di studio, Nahreman Issa meyakinkan penonton bahawa Jessica dibantu oleh beberapa kru yang bersama dengannya.
Dalam satu kenyataan yang dikongsi dengan Daily Mail pada petang Isnin, Jessica berkata bahawa kejadian pada malam Ahad itu adalah kejadian yang sangat peribadi dan ia berlaku semasa dia membuat liputan secara langsung ke udara.
Baca: Kebanyakan ‘Owner’ Terlepas Pandang, 5 Perkara Penting Kena Teliti Sebelum Perbaharui Insurans Motosikal
Jessica memulakan liputannya dengan bercakap mengenai perasaan keluarga mangsa selepas tiga tahun pesawat PS752 diserang oleh tentera Iran.
Ketika Jessica hampir pengsan dan hilang keseimbangan, dia memohon maaf kepada hos di studio berikutan keadaannya yang tidak berapa sihat.
Beberapa jam selepas itu, CTV Edmonton memuat naik satu ciapan di Twitter rasminya dengan berkata bahawa keadaan wartawannya bertambah baik dan kini sedang berehat.
“Terima kasih kepada semua yang bertanya tentang wartawan kami yang jatuh sakit pada berita jam enam petang, Jessica Robb kini bertambah baik dan sedang berehat,” kata CTV dalam ciapannya di Twitter.
Gambar: TwitterMalah, pada masa yang sama juga, Jessica turut memuat naik satu ciapan di akaun Twitter miliknya dengan mengatakan bahawa dia berada dalam keadaan baik.
“Kepada semua yang memberikan ucapan, terima kasih atas keprihatinan anda. Ia amat menggembirakan dan saya menghargai setiap mesej anda,” katanya dalam ciapan itu.
Jessica menambah bahawa dia turut menerima banyak mesej berbaur kebencian dan gangguan, lapor Daily Mail.
“Walaupun saya tidak akan berkongsi maklumat perubatan peribadi secara terbuka, saya boleh mengatakan bahawa tidak ada sebab untuk dibimbangkan,” katanya.
Walau bagaimanapun, Jessica mengesahkan bahawa keadaanya itu sama sekali tidak berkaitan dengan vaksin COVID-19.
Terdahulu, seorang pembaca berita di Oklahoma juga mengalami strok ketika bersiaran langsung di udara, pada Oktober tahun lalu.
Julie Chin yang sedang menyampaikan berita tentang pelancaran Artemis-I NASA dibatalkan, secara tiba-tiba tidak dapat menuturkan perkataan yang dibacanya dari teleprompter.
Beberapa hari selepas itu, Chin memuat naik satu kenyataan di Facebook untuk menjelaskan bahawa dia berada dalam keadaan sihat dan doktor mengesahkan dia mengalami strok pada peringkat awal.
Sumber: Daily Mail