Warga Emas Meninggal Dunia, Sempat Tunai Impian Nak “Skydiver” Tertua Di Dunia
Seorang warga emas dilapor meninggal dunia selepas memenuhi hasrat ‘terakhirnya’ untuk menjadi penerjun tertua di dunia, baru-baru ini.
Dorothy Hoffner, 104, yang berasal dari Amerika Syarikat meninggal dunia beberapa hari selepas selesai melaksanakan impian tersebut.
Rakan rapat Dorothy, Joe Conant berkata, mendiang meninggal dunia pada Ahad, 8 Oktober lepas di Rumah Orang Tua di Brookdale Lake View.
Menurut UNILAD, mendiang menunaikan impian tersebut dengan mendapatkan perkhidmatan daripada Skydive Chicago pada awal bulan ini.
Selain mahu menunaikan impian terakhirnya, Dorothy juga cuba memecahkan rekod dunia dan mahu menjadi skydiver tertua di dunia.
Mendiang dilapor terjun daripada ketinggian 13,500 kaki daripada pesawat di utara Illinois. Mendiang terjun bersama-sama jurulatih terjun dan menikmati detik-detik jatuh bebas selama beberapa saat sebelum payung terjun dibuka.
Kedua-duanya berada di ruang udara selama tujuh minit sebelum mendarat.
Sebaik sahaja menunaikan impian tersebut, kegembiraan jelas terpancar di wajah Dorothy yang tak henti-henti tersenyum.
”Jadi, apa kaitan antara umur dengan apa yang anda mahu lakukan? Saya berusia 104 tahun, tidak ada masalah apa-apa pun,” komen Dorothy ketika itu.
Wanita tersebut tidak sempat melihat dirinya diiktiraf dalam Guinness Book of World Records
BACA: Fenomena El Nino Dijangka Lebih Ekstrem Susulan Pemanasan Global – Nik Nazmi
Dalam pada itu, jurucakap Guinness Book of World Records berkata pihaknya sedang mengumpul bukti sebelum Dorothy dapat diiktiraf sebagai penerjun tertua di dunia.
Rekod semasa dipegang oleh Linnéa Ingegärd Larsson, seorang wanita 103 tahun dari Sweden yang melakukan terjunan pada Mei tahun lepas.
Malangnya, Dorothy tidak dapat menyaksikan sendiri seandainya rekod tersebut disahkan dan beliau diangkat menjadi penerjun tertua di dunia.
Untuk makluman, Dorothy bakal menyambut hari lahirnya ke-105 pada Disember ini. Sebelum pemergiannya, mendiang merancang untuk menyambut hari lahir tersebut dengan menaiki belon udara panas.
BACA: Tak Sangka, Rupanya Ini ‘Fungsi Rahsia’ Lubang Wayar Pada Meja Pejabat Ramai Tak Tahu
Sumber: UNILAD