Warga Emas Maut Dihempap Pokok, Parang Yang Digunakan Untuk Menebang Tertusuk Diri
Seorang lelaki warga emas dilaporkan maut selepas dihempap pokok sebelum tertusuk parang yang digunakannya untuk menebang pokok nangka di depan rumahnya di Kampung Paya Rumput, Melaka pada Khamis, 29 September 2022.
Menurut laporan Kosmo, mangsa dikatakan rebah dan meninggal dunia selepas berjalan lima langkah untuk masuk ke dalam rumah ketika insiden itu terjadi lebih kurang jam 11 pagi pada hari tersebut.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, anak lelaki mangsa telah membuat laporan berkaitan hal tersebut pada jam 11.15 pagi.
“Setiba di lokasi, pihak polis mendapati seorang lelaki warga emas telah terbaring di hadapan rumah dalam keadaan berlumuran darah.
“Soal siasat ke atas isteri mangsa berusia 66 tahun memaklumkan, semasa suaminya menebang pokok tiba-tiba dahan pokok tersebut menghempap si mati dan warga emas itu terjatuh lalu terkena parang digunakan,” katanya, memetik laporan Kosmo.
Jelasnya, mangsa telah menggunakan tangga untuk memanjat pokok nangka setinggi kira-kira 2.1 meter itu bagi memotong dahan pokok tersebut.
“Selepas terjatuh si mati masih boleh bangun dan menyedari rusuk sebelah kanannya berdarah akibat terkena parang yang sepanjang 18 sentimeter.
“Dia terus memanggil isterinya dan pergi ke paip air di hadapan rumah untuk cuci luka. Selepas itu si mati berjalan hendak masuk rumah, bagaimanapun selepas lima langkah dia tiba-tiba rebah dan disahkan meninggal dunia,” tambahnya lagi.
Difahamkan, kes tersebut telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Walau bagaimanapun, pihak polis telah mengeluarkan Pol 61 untuk mengetahui sebab-sebab kematian.
BACA: Gadis Tionghua Hidupkan Seni Melayu, Diangkat Jadi Cikgu Zapin Di Negara China
Sumber: Kosmo
Baca: “Sekelip Mata Bisnes Boleh Lingkup,” Ini Realiti Peniaga Di KL Kena Hadam Bila Duit ‘Rolling’ Modal Tak Cukup