Warga Emas Dipercayai Mangsa Langgar Lari Ketika Lintas Jalan Disahkan Meninggal Dunia
Seorang wanita warga emas yang dipercayai merupakan mangsa langgar lari ketika hendak melintas jalan awal pagi semalam disahkan meninggal dunia pada sebelah petangnya.
Menurut Astro Awani, insiden malang menimpa wanita berusia 64 tahun itu berlaku berdekatan lampu isyarat Jalan Pasir Puteh-Jalan Lahat, di Ipoh.
Berita kematian wanita itu dilaporkan oleh pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada kira-kira jam 2.50 petang, menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati bahawa kemalangan berlaku pada kira-kira jam 6.05 pagi semalam.
Ia melibatkan sebuah lori dengan nombor pendaftaran masih belum diketahui yang menghala ke Persiaran Lahat Mines dari arah Pasir Puteh.
“Apabila sampai di tempat kejadian, lori tidak sempat mengelak dan melanggar mangsa yang dipercayai sedang melintas jalan secara tiba-tiba dari kiri ke kanan jalan.
“Akibatnya, mangsa telah tercampak ke kiri jalan lalu jatuh ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Bagaimanapun, beliau berkata, pemandu lori berkenaan dipercayai telah lari kerana tidak berhenti dan terus beredar dari lokasi kejadian.
Mangsa pula dihantar ke HRPB untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia pada sebelah petangnya.
Justeru, kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau merbahaya.
Dalam pada itu, polis meminta saksi untuk menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Edwin Tang Chiew Song di talian 016-5506863 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
BACA: Wanita Rugi RM658,166, Dakwa Ditipu Lelaki Dikenali Dari Telegram, WhatsApps
BACA: Sebuah Maahad Tahfiz Dua Tingkat Di Jitra Musnah Terbakar
BACA: Bapa Sedih Anak Maut Kereta Terjunam Dalam Sungai
Sumber: Astro Awani