Wanita Terkilan Tak Dapat Mengundi, Dakwa Nama Telah Digunakan Orang Lain
Seorang wanita dilaporkan telah membuat laporan polis selepas namanya didakwa digunakan oleh individu lain di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah, lapor Sinar Harian.
Rozana Mokhtar, 35, dari Taman Lagenda berkata dia sangat teruja untuk membuang undi buat pertama kalinya di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Mahsuri, Kedah.
Menurut Rozana, dia telah tiba di pusat mengundi tersebut bersama kakaknya untuk mengundi kira-kira jam 8.50 pagi tadi.
Bagi Pilihan Raya sebelum ini, Rozana memberitahu bahawa dia merupakan pengundi di Gunung Semanggol, Perak.
“Kali pertama mengundi di sini, jadi saya minta bantuan petugas untuk bantu saya pergi ke saluran yang betul iaitu saluran tiga. Kemudiannya, pegawai yang bertugas di bahagian pemeriksaan nama telah minta kad pengenalan saya.
“Apabila saya bagi, dia terkejut dan maklumkan bahawa nama saya telah ditanda. Ada orang yang guna kad pengenalan saya untuk buang undi,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.
Rozana yang terkejut kemudiannya bertanyakan kepada pegawai bertugas sama ada mereka telah melakukan pemeriksaan secara teliti ketika kejadian itu.
Pegawai memberi alasan muka sebenar dan gambar di kad pengenalan berbeza
Bagaimanapun, menurutnya, pegawai itu hanya memberikan alasan bahawa muka sebenar dan paparan muka di kad pengenalan banyak yang berbeza.
“Jadi, dia terus maklumkan bahawa saya memang tidak boleh mengundi kerana nama sudah dipotong,” katanya.
Rozana kemudiannya diminta untuk membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan telah pergi ke Balai Polis Padang Serai.
Rozana seterusnya diminta untuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk siasatan yang terperinci.
BACA: Ramai Lega, Masalah Lif PPR Selesai Selepas Tindakan Ini, Siap Nak Bagi Internet Percuma
Tambah Rozana, perasaan teruja untuk membuang undi di Kedah telah bertukar menjadi tragedi yang menyedihkan dan kecewa untuknya.
Malah beliau juga menyatakan bahawa dia sangat terkejut dengan kejadian yang menimpa dirinya itu.
Dalam pada itu, Rozana turut berharap agar pihak polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.
Kekecewaan Rozana tidak dapat dibendung selepas dia turut berkongsikan pengalaman pahitnya itu di laman sosial Facebook miliknya.
Sumber: Sinar Harian