Seorang pengusaha di Bantul, JogJakarta dilaporkan maut disyaki dibunuh isteri dan sepupunya sendiri, lapor Tribun News.
Memetik portal berkenaan, mangsa (38) dibunuh ketika sedang melakukan hubungan badan bersama isterinya, KI (30) sebelum seorang lagi suspek yang juga sepupu mangsa, NK, (22) datang menjerut lehernya.
Dalam kejadian itu, pelaku dilaporkan telah keluar dari tempat persembunyian dan menjerut leher mangsa selepas si isteri memberi isyarat melalui kod desahan manakala si isteri bertindak menekup mulut suaminya dipercayai bagi menghalang lelaki malang itu meminta tolong.
Wakil Polis Bantul, AKP Ngadi dilaporkan berkata, kedua-dua pelaku kemudiannya membalut jasad mangsa dengan cadar sebelum menyembunyikannya di dalam gudang.
Tambah portal itu, mereka berdua juga sempat membeli dan menikmati sate ayam bersama sebelum membuang jasad mangsa ke daerah lain menggunakan sebuah kereta.
Jelas Ngadi, motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada cinta tiga segi dan dendam antara sepupu mangsa dengan lelaki tersebut.
“Kedua-dua tertuduh memang diancam bunuh oleh mangsa kerana dia sudah mengetahui mereka mempunyai hubungan istimewa. Motif pembunuhan cinta tiga segi,” katanya seperti dilapor Tribun News.
Lapor portal itu, sepupu mangsa, NK juga berdendam kerana mendakwa telah dibuli dan dibuang kerja oleh mangsa, selain pernah diugut bunuh olehnya.
Malah, pembunuhan itu telah dirancang sejak sebulan lalu, tulis portal sama.
Bagaimanapun, kedua-dua pelaku dilaporkan memberi kenyataan bercanggah antara satu sama lain di mana masing-masing tidak mengaku sebagai dalang pembunuhan.
Menurut Tribun News, si isteri mendakwa telah menghalang sepupu mangsa daripada membunuh suaminya.
“Jadi saya patuh kepada NK pada masa itu, yang pasti, idea awal daripada NK. Saya tak terima kalau saya yang dituduh menyuruh membunuh suami,” kata wanita itu seperti dipetik portal tersebut.
Bagaimanapun menurut Ngadi, NK pula mendakwa telah menerima isyarat daripada wanita berkenaan untuk membunuh suaminya.
Ujarnya, sebelum pembunuhan berlaku, isteri mangsa sempat mengajak NK untuk menamatkan riwayat suaminya melalui chat dan panggilan video.
Jelas Ngadi, pada awalnya hanya NK yang dituduh, namun hasil soal siasat mendapati isteri mangsa turut terlibat dalam kes berkenaan.
Kedua-dua suspek kini didakwa di bawah pasal 340 KUHP dan bakal berhadapan hukuman penjara 20 tahun jika sabit kesalahan.
Sumber: Tribun News (1) (2) (3)