Kisah seorang kanak-kanak di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang yang kehilangan ayahnya seperti yang tular baru-baru ini turut mendapat perhatian kerajaan.
Sebelum ini kanak-kanak tersebut, adik Mohamad Nor Atho’ullah, 11, telah kehilangan ayah tercinta, Mohamad Kamil Ghazali, 51, yang dilaporkan meninggal dunia akibat COVID-19.
Ketika kejadian tular itu berlaku, hampir seluruh pesakit COVID-19 di sana melancarkan tabung kilat buat adik ini sebagai tanda solidariti, selain turut ‘menghadiahkan’ bacaan tahlil dan Yassin buat arwah ayahnya.
Sehubungan itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba pada hari ini mewakili Jemaah Menteri Kabinet ke PKRC MAEPS Serdang bagi menyampaikan sumbangan bantuan buat adik ini serta adik-beradiknya yang lain.
Gambar: KKM“Saya ucapkan takziah kepada semua, moga Allah SWT tempatkan arwah ayah anda dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” katanya, memetik hantaran di laman Facebook KKM hari ini.
Dalam pada itu, adik Nor Atho’ullah bersama kakaknya, Nur Kamilatul Alifah, 26 serta abangnya juga turut dilaporkan sudah sembuh dan telah dibenarkan keluar dari PKRC berkenaan.
Bersyukur atas sumbangan yang diberikan, Kamilatul Alifah juga turut menzahirkan ucapan terima kasih atas bantuan dan sumbangan yang diberikan oleh barisan Jemaah Menteri Kabinet menerusi Adham.
Turut hadir sama ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Datuk Mohd Shafiq Abdullah; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Indera Dr. Shaari; Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Datuk Dr. Norhayati Rusli; Setiausaha Politik Menteri Pengajian Tinggi, Datin Maizatul Akmam Alawi @ Ad Badawi dan pegawai-pegawai kanan KKM.
Difahamkan, Adham turut berkesempatan melakukan tinjauan kesiapsiagaan MAEPS sebagai PKRC dalam menghadapi gelombang ketiga pandemik COVID-19 ini.
Gambar: KKMSumber: KKM