Peristiwa seorang pemandu ambulans menghantar jenazah bagi mangsa kemalangan jalan raya, baru-baru ini telah mendapat perhatian warganet, lapor portal Kumparan.com.
Menurut sumber, pemandu yang bernama Tonang itu telah berkongsikan rakaman video di akaun Tik Toknya pada Ahad lepas (23 Mei). Video tersebut menunjukkan keadaan dirinya yang menghantar jenazah mangsa kemalangan berseorangan, tanpa ditemani sesiapa pun.
Dia terpaksa melalui jalan yang sunyi sambil membawa jenazah ke rumah pengebumian, atau lokasi yang tidak pernah dia kunjungi.
Dalam rakaman tersebut, Tonang menyatakan, “Penghantaran jenazah mangsa kemalangan di dalam ambulans, hanya berdua saja dengan jenazah. Hanya bermodalkan nombor telefon bimbit dan alamat rumah pengebumian. Keadaan jalan adalah kotor dan sangat sunyi. Jam sudah menunjukkan pukul 2.30 pagi.”

Jelas portal, Tonang yang bekerja di Riau itu mengatakan bahawa dia perlu sentiasa bersedia sekiranya hospital meminta untuk menghantar jenazah pada malam hari. Tidak ada perasaan takut mahupun meminta sesiapa menemaninya, dia dilihat menjalankan tugasnya dengan akur biarpun pada waktu malam sepi yang agak menakutkan.
Pengalaman yang dikongsinya itu telah menjadi tular di media sosial. Banyak netizen yang ‘respect‘ dengan Tonang kerana berani dan sanggup menjalankan tugas menghantar jenazah tanpa mengenal waktu.
Kini, video tersebut telah ditonton oleh 6 juta orang dan disukai oleh 315,700 pengguna Tik Tok.
Terdapat beberapa komen tertulis:
“Yang seperti inilah yang saya ‘respect’. Tetap bersemangat,” komen @perdanaiqbalramadan.
“Saya pemandu, tetapi saya tidak mampu menjadi seperti ini walaupun bayarannya lumayan, ‘respect’,” komen @ezadv.
” ‘Respect’, bro, kalau saya dah berundur dulu kalau kerja macam tu,” komen @komensos.
Sumber: Kumparan.com