Sebelum ini, tular seketika rakaman kononnya seorang isteri menangis di hari persandingan suaminya di media sosial. Biarpun ramai yang bersimpati, namun hakikat sebenarnya terbongkar apabila pemilik video membuat pengakuan yang akhirnya menyebabkan orang ramai panas hati.
Dalam video tular, kelihatan seorang wanita asyik menangis di sebuah majlis pernikahan di Indonesia. Sambil memerhatikan pasangan mempelai yang sibuk melayan tetamu, wanita itu dilihat sesekali mengesat air matanya menggunakan tangan.
Dalam rakaman itu juga, kapsyen yang diturunkan mendakwa bahawa wanita itu merupakan isteri tua yang telah membenarkan suaminya untuk berkahwin lain.
Bagaimanapun, pemilik sebenar video itu telah mengaku bahawa rakaman tersebut berkenaan hanyalah rekaan semata-mata dan bukan realiti sebenar.
“Saya pemillik akaun ingin memohon maaf kepada pihak terlibat. Mohon maaf, saya tidak bermaksud merugikan pihak pengantin,” katanya.
Jelasnya, video tersebut hanyalah gurauan terhadap rakannya yang terharu menyaksikan perkahwinan berkenaan.
“Sebenarnya video itu bukan benar. Saya buat video itu hanya gurauan saya.
“Rakan saya menangis kerana terharu. Saya tidak sangka akan viral seperti ini,” ujarnya.
Sumber: Instagram, TikTok