Penantian yang panjang bagi larangan memuat naik apa-apa sahaja video atau maklumat tentang filem Avengers: Endgame di sosial media yang boleh membuatkan diri anda tergolong dalam golongan “spoiler” yang dikenakan oleh produksi Marvel itu ke atas masyarakat antarabangsa akhirnya telah ditarik.
Pengarah Marvel dan filem Endgame iaitu Joe dan Anthony Russo memandang serius terhadap pengrahsiaan plot-plot yang penting dalam filem tersebut, seterusnya melarang sesiapa sahaja untuk memuat naik apa-apa informasi atau video yang berkenaan dengan filem tersebut.
Larangan itu juga turut dikenakan ke atas pelakon-pelakon yang membintangi filem tersebut seperti Chris Evans, Chris Hemsworth, Robert Downey Jr. dan lain-lain lagi.
Namun kini, adik-beradik Russo itu telah mengisytiharkan bahawa hari isnin lalu yang bersamaan dengan 6 Mei adalah hari pengakhiran untuk larangan menjadi “spoiler” di sosial media. Selepas sahaja larangan itu telah ditarik, para pelakon filem Endgame terus memuat naik segala-galanya yang mereka simpan dan rakaman yang terdapat dalam telefon bimbit mereka ke akaun media sosial milik mereka.
Chris Evans yang membintangi watak Captain America di dalam filem tersebut telah mula memuat naik video di belakang tabir yang kelihatan para pelakon sedang berbual sesama sendiri serta satu gambar swafoto yang telah dimuat naiknya menerusi akaun Twitter miliknya.
Beliau dilihat mengikuti jejak yang dilakukan oleh bintang Guardians of the Galaxy iaitu Chris Pratt yang telah mengongsikan rakaman di sebalik tabir terlebih dahulu di akaun media sosial miliknya.
Robert Downey Jr. yang memegang watak sebagai Iron man di dalam filem Endgame itu turut mengongsikan beberapa buah video ketika di sebalik tabir penggambaran filem tersebut. Di dalam satu video yang dikongsikannya, beliau dilihat memakai separuh sut Iron man sambil ditemani pelakon-pelakon lain menyanyikan lagu selamat hari jadi yang ditujukan kepada filem Iron Man yang pertama.
Walaupun kedua-dua pengarah filem Endgame itu telah menarik balik larangan tersebut, mereka menyeru supaya para peminat yang telah menonton filem tersebut tidak buka tembelang kepada peminat yang tidak berkesempatan untuk menontonnya lagi.
Berikut adalah rakaman serta gambar-gambar di belakang tabir yang telah dikongsikan oleh para pelakon yang membintangi filem Avengers: Endgame tersebut :
Sumber: People