Seorang pelatih tentera dilaporkan merampas sebuah bas sekolah di South Carolina, Amerika Syarikat sebelum membebaskan kesemua kanak-kanak sekolah yang berada dalam bas itu, meninggalkan bas tersebut dan menyerah diri, kata pegawai.
Suspek tersebut dilaporkan telah meninggalkan pangkalan tentera Fort Jackson bersama dengan senapang – yang didapati tiada peluru – kira-kira jam 7 pagi waktu tempatan dan cuba untuk menahan penunggang motor di lebuhraya Interstate 77 sebelum ternampak bas sekolah, kata pihak berkuasa.
Dia “memberitahu kepada pemandu bas bahawa dia tidak mahu mencederakan sesiapa, hanya cuma mahukan pemandu bas itu menurunkannya di bandar berdekatan sahaja,” kata Sheriff Richland County, Leon Lott.
Lott mengenal pasti suspek tersebut merupakan seorang lelaki yang berasal dari New Jersey dan berusia 23 tahun.
Video rakaman yang diambil dari dalam bas dan dikeluarkan oleh pihak Sheriff menunjukkan seorang lelaki memegang sebuah senapang dan berpakaian kemeja-T gelap dengan tulisan “ARMY”.
Dapat didengari dalam video tersebut lelaki itu berteriak menyuruh pemandu bas itu menutup pintu. “Tutup pintu, pandu, pandu!”
Suspek turut membawa kesemua 18 kanak-kanak di dalam bas tersebut ke bahagian hadapan, di mana mereka “mula mengajukan pelbagai soalan kepada suspek, adakah dia mahu mencederakan mereka atau pemandu bas sahaja,” kata Lott.
Pertanyaan itu telah ‘serabutkan’ lelaki tersebut sebelum dia mengarahkan kanak-kanak dan pemandu bas berkenaan turun daripada bas, memandu sendiri, tinggalkan bas, tinggalkan senapang di dalam bas itu dan ditahan tanpa sebarang insiden yang tidak diingini, menurut Sheriff.
Pelatih itu sedang berada pada minggu ketiganya dalam latihan pertempuran asas selama 10 minggu di Fort Jackson, kata para pegawai.
Komander pangkalan, Brig, Jeneral Milford Beagle Jr., menyatakan bahawa dia percaya pemuda itu homesick, mendorongnya untuk memanjat tembok tinggi dan meredah kawasan hutan untuk meninggalkan Fort Jackson.
Pemandu bas dan pelajar sekolah tersebut yang pada ketika itu sedang menuju ke Forest Lake Elementary School di Columbia dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan susulan daripada kejadian itu.
Suspek akan didakwa dengan 19 tuduhan menculik selain beberapa tuduhan lain termasuk rompakan bersenjata dan kecurian, kata Lott.
Dia juga turut akan dikenakan dengan tindakan disiplin dari ketenteraan kerana mencuri senapang dan ketidakhadiran tanpa izin, menurut Beagle.
Sumber: NBC News