Pelumba basikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom berjaya meneruskan saingan selepas melayakkan diri ke peringkat suku akhir dalam perlumbaan Men’s Keirin Repechages -Heat 1 yang diadakan sebentar tadi.
Dalam perlumbaan tersebut, beliau hampir sahaja terlibat dalam kemalangan sekali lagi selepas terdapat sentuhan bersama dengan pelumba lain ketika sedang mengejar pelumba di hadapannya.
Mujur beliau dapat mengawal basikalnya dan sekali gus berjaya mengelak daripada terbabit dalam kemalangan.
Pada satu ketika, beliau tampak seakan sukar untuk melayakkan diri kerana berada di posisi yang terakhir di antara semua pelumba.
Tanpa menghiraukan kecederaan yang dialaminya pada kemalangan yang berlaku di perlumbaan sebelumnya, beliau telah berusaha memecut laju memotong satu demi satu pelumba yang berada di hadapannya untuk berada di tempat kedua selepas tamat perlumbaan.
Tempat kedua itu sudah cukup untuk melayakkan dirinya ke pusingan sseterusnya mengikut jejak langkah Dato’ Azizulhasni Awang.
Syabas Shah Firdaus dan Dato’ Azizulhasni Awang!
Sumber: Team Malaysia