Seekor anak gajah jantan berusia tiga tahun ditemui mati dipercayai akibat renjatan elektrik di hutan Walayar, wilayah Palakkad di Kerala, India baru-baru ini.
Memetik India Times, anak gajah tersebut dikatakan terpisah daripada kumpulannya di hutan sebelum tersesat masuk ke sebuah ladang yang mempunyai jaluran wayar elektrik.
Difahamkan, pada awalnya bangkai tersebut ditemui penduduk tempatan dan mereka mendakwa terdapat tiga ekor gajah dewasa yang lain dipercayai kawanannya turut berada di situ.
Ketiga-tiga gajah tersebut didakwa menggerak-gerakkan bangkai anak gajah itu dan salah seekornya dipercayai ibunya sendiri.
Tujuan mereka berbuat demikian adalah dipercayai cuba untuk ‘membangunkannya’ kembali, tanpa sedar bahawa si anak gajah itu telah pun mati.
Penemuan bangkai itu dilaporkan kepada jabatan hutan dan penguatkuasanya dikerahkan ke lokasi kejadian untuk mengambilnya bagi tujuan bedah siasat.
Menurut laporan media tempatan, kawasan tanah tempat bangkai anak gajah itu ditemui tersebut dipajakkan kepada pengusaha ladang oleh pihak Kuil Sree Emoor Bhagavathy.
Sumber: India Times