Gara-gara dipercayai sakit hati dengan isteri yang curang dengan lelaki lain, seorang suami tekad merobohkan rumahnya sendiri dalam sekelip mata, lapor Suara.com
Menurut perkongsian di TikTok @rismakurnia66, terpapar rakaman sebuah rumah milik suami berkenaan sedang dirobohkan menggunakan jengkaut.
Kejadian ‘pilu’ rumah yang terpaksa dirobohkan itu dikatakan berlaku di Kampung Pule, Trenggalek di Jawa Timur baru-baru ini, menurut laporan Suara.
Menerusi beberapa sumber yang dipetik Suara, segalanya berpunca apabila si suami tersebut mendapat tahu isterinya tergamak menduakannya dengan lelaki lain.
Lantas akibat sakit hati dan kecewa, lelaki itu yang bekerja di daerah lain pulang ke rumahnya dan merobohkan terus teratak kediaman mereka.
Dalam masa sama, kejadian itu disaksikan oleh jiran-jiran terdekat, masing-masing mempamerkan pelbagai reaksi yang berbeza.
Tidak kurang juga, ada segelintir penduduk yang turut ‘membantu’ dengan membaling batu ke arah dinding struktur rumah sehingga pecah.
Rakaman video berdurasi 36 saat itu telah ditonton lebih 684,000 kali setakat ini, selain mendapat bermacam-macam maklum balas daripada warganet.
Rata-rata warganet mendakwa, mereka turut bersimpati dengan ujian dan kekecewaan yang menimpa suami berkenaan.
Sumber: Suara / TikTok @rismakurnia66