Kredit gambar: Daily Mail/SWNS

(Video) Laut Bermandi Darah, Tradisi Pembunuhan Ikan Lumba-Lumba Di Pulau Faroe

Nur Adnin

Kawasan perairan di sekitar Pulau Faroe, berdekatan Denmark bertukar menjadi lautan merah apabila hampir 1,500 ikan lumba-lumba disembelih secara besar-besaran.

Difahamkan, jumlah itu adalah angka tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah aktiviti pemburuan ikan tradisi masyarakat di sana, iaitu ‘Grindadrap‘ sejak bertahun lamanya.

Walaupun Faroe adalah wilayah terakhir di bawah Denmark yang masih dibenarkan menjalankan tradisi sedemikian, namun jumlah ikan yang dibunuh pada kali ini sangat tinggi hingga mencetus kemarahan penduduk.

Pengerusi Pemburu Pilot Whale Faroese, Olavur Sjurdarberg berkata, pembunuhan tidak terkawal ini telah tersebar di media sosial hingga menyebabkan orang ramai salah faham tentang budaya mereka.

“Ia adalah kesilapan besar. Mereka sepatutnya kena tahu perkara yang lebih jelas. Mereka menganggarkan (pada awalnya) hanya 200 ekor ikan lumba-lumba. Ramai terkejut dengan apa yang berlaku,” katanya.

Berdasarkan laporan tersebut, kesemua ikan itu dibunuh dengan menggunakan pisau, cangkuk dan lembing sebelum dibawa ke tepi perairan dan dilambakkan di situ.

Sementara itu, kejadian tersebut turut mendapat tentangan daripada aktivis hak asasi haiwan hingga mereka dilapor mahu mendesak kerajaan Denmark supaya menghentikan tradisi kejam berkenaan.

Dalam pada itu, ada penduduk berpendapat bahawa jumlah ikan yang diburu dan dibunuh pada kali ini sangat tinggi daripada kadar yang sepatutnya seperti tahun-tahun terdahulu.

Grindadrap merupakan satu budaya tradisi turun-temurun iaitu pemburuan ikan untuk mendapatkan bekalan daging ikan bagi keperluan makanan penduduk di pulau berkenaan.

Menurut undang-undang Faro, antara jenis ikan yang diburu dalam tradisi ini selain paus pilot ialah ikan lumba-lumba bottlenose, ikan lumba-lumba paruh putih dan ikan lumba-lumba port.

Difahamkan, sejak zaman dahulu, masyarakat Faro (khususnya) bergantung hidup sepenuhnya pada daging dan lemak daripada ikan tersebut sebagai sumber makanan untuk kelangsungan hidup.

Bagaimanapun kajian baru-baru ini mendapati, daging pada ikan berkenaan didakwa telah mengandungi bahan merkuri dan tidak digalakkan untuk dimakan secara berkala pada tempoh tertentu.

Sumber: Daily Mail