Selain ‘dibelenggu’ dengan pandemik COVID-19, atlet-atlet yang bertanding di Olimpik Tokyo juga terpaksa menghadapi cuaca panas melampau yang melanda di bandar itu.
Keadaan itu juga turut dirasai oleh pemain tenis dari Rusia, Daniil Medvedev yang menghadapi kesukaran untuk meneruskan perlawanan pada Rabu kerana tidak tahan dengan cuaca panas.
Pemain tenis nombor dua dunia itu bergelut semasa perlawanan pusingan ketiga yang menentang Fabio Fognini dari Itali.
Apa yang menarik perhatian media adalah ketika Medvedev ditanya oleh ketua pengadil, Carlos Ramos, sama ada dapat meneruskan permainan atau tidak. Dia menjawab bahawa dia masih lagi boleh bermain, tetapi dia juga telah melontarkan soalan yang agak sinis kepada pengadil itu.
“Saya seorang pejuang, saya akan menyelesaikan pertandingan ini tetapi saya boleh mati.
“Sekiranya saya mati, siapa yang akan bertanggungjawab?,” katanya.
Setelah itu, Medvedev juga mengatakan bahawa dia merasakan ‘kegelapan’ di matanya.
Pun begitu, dia tetap meneruskan perlawanan dan mencatatkan kemenangan ke atas Fabio dengan mata 6-2, 3-6, 6-2, ia melayakkannya untuk mara ke peringkat suku akhir.
Dalam pada itu, pemain tenis Sepanyol, Paula Badosa terpaksa mengundurkan diri dari perlawanan suku akhir perseorangan wanita menentang Marketa Vondrousova dari Czech kerana mengalami strok haba.
Dia bahkan terpaksa dibawa keluar dari gelanggang dengan menggunakan kerusi roda.
Sumber: CNN, Wan Bisakaa