COVID-19 sememangnya telah memberikan kesan yang mendalam kepada kehidupan manusia. Manakan tidak, ramai yang telah terkorban disebabkan oleh bahana jangkitan virus itu.
Lebih memilukan, ramai juga kanak-kanak telah menjadi yatim piatu dalam sekelip mata, malah ada di antara mereka yang tinggal sebatang kara tanpa peneman di sisi.
Baru-baru ini, tular satu video di Indonesia yang memaparkan seorang remaja melaungkan azan di tanah perkuburan.
Menurut Suara Surakarta, remaja itu meluangkan azan bagi memberikan penghormatan yang terakhir buat kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia akibat COVID-19.

Dengan memakai PPE, remaja yang dikenali sebagai Arga, 13, diberikan peluang untuk menguruskan ‘pemergian’ ibu bapanya buat kali yang terakhir di Tanah Perkuburan Islam Kelabu dan Kuning, Tenggarong, Kalimantan Timur.
Setelah melaungkan azan, dia dilihat seterusnya dilihat menadah tangan dan mendoakan ibu bapanya. Riak kesedihan terpancar di wajahnya pada ketika itu.
Ia membuatkan warganet di sana turut hiba dan sedih melihat nasib anak yatim piatu itu.
Difahamkan, kedua ibu bapanya telah meninggal dunia pada hari yang sama di pusat perubatan Wisma Atlet Tenggarong.
Arga berseorangan kerana tiga lagi adik beradiknya yang lain kini sedang menjalani kuarantin kerana turut dijangkiti COVID-19.
Nasib mereka juga ternyata telah mendapat perhatian Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi). Memetik laporan dari Tribun News, Jokowi telah membuat panggilan video bersama Arga.
Gambar Via Tribun NewsSelain bertanya khabar, Jokowi juga dilaporkan telah memberikan bantuan wang tunai sebanyak Rp 25 juta (RM7,352) kepada remaja itu.
Semoga Arga dan adik beradiknya yang lain terus tabah menjalani hidup tanpa ibu bapa di sisi.
Sumber: Suara Surakarta, Tribun-Timur