Sekumpulan remaja di Filipina pada baru-baru ini berjaya meraih perhatian apabila menjadi tajuk utama berita antarabangsa selepas rakaman aksi mereka bermain game di dalam sebuah kafe siber yang sedang dinaiki air akibat taufan menjadi tular.
Rakaman video itu memaparkan sekumpulan remaja sedang asyik bermain game mengabaikan kenaikan paras air di sebuah kafe siber di bandar Cainta di Rizal yang telah dilanda ribut taufan Ying-fa pada Khamis lalu.
Walaupun sedang ditenggelami dengan air dan berisiko terkena renjatan elektrik, remaja-remaja tersebut dapat dilihat masih lagi terpaku di hadapan skrin komputer itu.
Namun selepas diarahkan oleh pemilik kafe siber tersebut untuk beredar, barulah remaja-remaja berkenaan berhenti bermain dan beredar dari kawasan itu.
“Kami tidak tahu akan terjadi banjir pada hari itu, jadi ketika saya menyedari insiden tersebut, saya segera bertindak dan memberitahu mereka bahawa saya harus memindahkan peralatan ke tempat yang lebih tinggi.
“Selepas daripada rakaman video itu, mereka juga berhenti bermain dan terus beredar, tidak ada sesiapa yang tercedera,” kata pemilik kafe siber tersebut, Sio Samson.
Mujur, semua kabel elektrik dan soket di dalam premis itu dilaporkan berada di atas permukaan air. Jika tidak, sesuatu yang buruk pasti akan terjadi.
Walaupun ramai orang memuji sikap “gamers kental ” remaja-remaja berkenaan, namun ada juga yang berpendapat bahawa mereka tidak patut mempertaruhkan nyawa mereka hanya kerana hendak bermain game serta risiko yang bakal ditanggung disebabkan oleh elektrik.
“Anda boleh dengar dalam video, budak-budak itu taknak beredar, yeke? Tetapi sebenarnya saya terus menutup komputer untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tak diingini.
“Sebagai seorang jurutera komputer, saya tahu bahaya yang boleh berlaku disebabkan elektrik. Oleh itu, setelah saya merakam video, saya segera mengeluarkan peralatan elektrik,” ujar pemilik kafe itu.
Sumber: Oddity Central