Mengejutkan, sebuah video yang tular di India menyaksikan dua orang lelaki didakwa telah membuang mayat pesakit COVID-19 di dalam sungai.
Menurut NDTV, video tersebut dipercayai dirakam di Uttar Pradesh oleh beberapa orang yang memandu di jambatan di daerah Balrampur. Ia ternyata mengeruhkan lagi keadaan selepas ribuan mayat didakwa telah ditanam di sekitar sungai Ganga pada minggu lalu.
Menerusi video itu, dapat dilihat bahawa salah seorang dari lelaki tersebut memakai PPE yang lengkap dan mengangkat bungkusan yang dipercayai mayat di jambatan di Sungai Rapti.
Ketua Pegawai Perubatan Balrampur kemudian mengesahkan bahawa mayat itu adalah pesakit COVID-19 dan dua lelaki itu merupakan saudara-maranya. Mereka dilaporkan telah ditahan oleh pihak polis.
“Siasatan awal mendapati bahawa pesakit dimasukkan ke hospital pada 25 Mei dan meninggal dunia tiga hari kemudian pada 28 Mei. Menurut protokol COVID-19, mayat itu telah diserahkan kepada saudara-mara.
“Siasatan awal juga menunjukkan bahawa saudara-maranya itu telah membuang mayatnya di sungai. Kami telah mengemukakan kes dan tindakan tegas akan diambil,” kata Ketua Pegawai Perubatan Balrampur,VB Singh.
Awal bulan ini, ratusan mayat dipercayai telah hanyut di tebing sungai Ganga di beberapa bahagian iaitu di Bihar dan Uttar Pradesh, lapor NDTV.
Menteri Kesatuan, Gajendra Shekhawat mengatakan bahawa pihaknya mengambil serius mengenai masalah pembuangan mayat di Sungai Ganga ini dan akan memastikan ia tidak akan berlaku lagi.
Sumber: NDTV