Baru-baru ini tular di Indonesia mengenai satu video yang memaparkan seorang wanita yang dipercayai mengalami masalah mental dan telah dibantu oleh seorang lelaki.
Apa yang menarik perhatian adalah kerana wanita itu tetap menutup auratnya walaupun dia mengalami masalah mental. Dia dilihat memakai tudung dan menutup seluruh wajahnya agar tidak dilihat oleh orang lain.
Menurut Suara.com, video itu telah tular di TikTok setelah dimuatnaik oleh @kang.simple bulan lalu.
Menerusi video itu, lelaki yang membantu wanita tersebut juga terkejut setelah mengetahui bahawa wanita itu memelihara seekor ayam yang disimpan di dalam kainnya.
Bagaimanapun, wanita itu dilihat malu untuk menunjukkan haiwan kesayangannya kerana malu untuk mengangkat kainnya itu.
Lelaki itu juga mengatakan bahawa dia dan rakan-rakannya akan memberikan bantuan dengan menyediakan tempat tinggal dan mencari pekerjaan untuk wanita itu.
“Bismillah, kami sedang siapkan satu bilik dan mencari pekerjaan untuknya, mohon anda semua doakan,” katanya menerusi kapsyen di TikTok.
Rata-rata warganet memberikan pelbagai reaksi dan sebahagian besar dari mereka memuji penampilan wanita itu yang mengenakan tudung dan menutup wajahnya.



Sehingga kini, video tersebut telah ditonton sebanyak 5.3 juta kali.
Sumber: Suara.com