Siapa sangka, sekeping kadbod boleh menyebabkan puluhan orang cedera. Walau kelihatan agak ‘mustahil’, itulah yang berlaku kepada puluhan pengayuh semasa Tour De France 2021 yang terbabas disebabkan sekeping plakad dipegang seorang penonton dalam kejadian pada Sabtu.
Lapor Daily Mail, polis Perancis sedang memburu seorang penonton wanita yang menyebabkan kecederaan kepada 21 penunggang dalam kemalangan paling buruk dalam sejarah acara tersebut.
Wanita yang dilihat tersenyum pada kamera televisyen sambil memegang plakad itu bakal berdepan hukuman setahun penjara atas tindakannya tersebut.
Kredit: Daily MailMenurut portal berkenaan, dia dikatakan memegang dan menghayunkan kadbod yang tertera mesej dalam tulisan Perancis serta Jerman, dipercayai ditujukan kepada datuk dan neneknya semasa pusingan pertama kayuhan itu berlangsung.
Tindakannya itu dipercayai telah menghalang laluan para penunggang, menyebabkan ada antara mereka terbabas selepas berlanggar dengan plakad berkenaan.
BACA: Anda Boleh Dapat Bekalan Runcit Percuma Selama 6 Bulan, Ini Caranya
Kemalangan itu seterusnya menyebabkan sekitar 50 orang penunggang berlaga sesama sendiri dan terjatuh daripada basikal mereka, tulis portal itu.
Berikutan itu, seramai 21 peserta dilaporkan cedera termasuk seorang pengayuh yang terpaksa menarik diri daripada perlumbaan berkenaan.
Kredit: Daily MailJurucakap Finistere Gendarmerie berkata, penonton yang menyebabkan kemalangan itu telah menghilangkan diri dari tempat kejadian.
“Penonton yang menyebabkan kemalangan ini meninggalkan lokasi sebelum ketibaan para penyiasat. Semuanya sedang dilakukan untuk cuba mencarinya.
“Dia memakai cermin mata dan berseluar jeans biru, berbaju belang merah putih serta jaket kuning,” katanya.
Lantaran itu, wanita tersebut dilaporkan bakal berhadapan tuduhan sengaja melanggar peraturan keselamatan dan menyebabkan kecederaan yang mungkin menghalang seseorang bekerja sehingga tiga bulan.
Dia juga boleh dihukum penjara sehingga satu tahun serta denda £13,000 (sekitar RM 74,982.71).
Sementara itu, wakil pihak penganjur, Pierre-Yves Thouault mendakwa ingin menyaman wanita itu agar golongan minoriti yang berkelakuan demikian tidak merosakkan pertunjukan untuk semua orang.
Malah, pengarah perlumbaan tersebut, Christian Prudhomme menyelar tindakan orang awam yang berlari melintas jalan di hadapan perlumbaan.
Sumber: Daily Mail
BACA: Cadangan KPM Murid Kelas Peperiksaan Diberi Vaksin Pfizer Dipersetujui