Satu gempa bumi kuat 7.3 skala ritcher dilapor melanda timur laut Jepun pada malam 16 Mac 2022 yang lalu. Menurut laporan berita, kejadian itu berlaku sekitar 11.36 malam (waktu tempatan).
Gempa bumi kuat berkenaan dilaporkan telah melanda beberapa kawasan di Jepun hingga menyebabkan berlakunya kemusnahan infrastruktur. Selain itu, media turut melaporkan sekurang-kurangnya dua orang maut dan 90 cedera.
Kebanyakan mangsa yang cedera dan dua mangsa terkorban akibat gempa itu berada di bandar Soma, Fukushima.

Dalam laporan awal, sejurus kejadian gempa bumi berkenaan, Agensi Bencana Alam Jepun telah mengeluarkan amaran tsunami setinggi satu meter (3.3 kaki) di bahagian kawasan pantai timur laut negara itu. Namun begitu, amaran berkenaan kemudian telah ditarik balik.
Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida memberitahu pemberita bahawa kerajaan akan menilai tahap kerosakan yang berlaku.
Gempa bumi kuat ini juga menyebabkan bekalan elektrik terputus hingga menjejaskan lebih dua juta kediaman buat sementara waktu. Bukan itu sahaja, gempa tersebut telah membuatkan banyak bangunan di bandar Tokyo bergoyang dan rakaman kejadian menjadi tular di media sosial.
“Gegaran yang sangat ganas”, itulah yang disimpulkan oleh salah seorang penduduk yang berkongsi detik cemas semasa kejadian gempa bumi berkenaan berlaku.
Penduduk berkenaan turut memberitahu bahawa apa yang dilalui hari ini menyamai peristiwa yang berlaku pada 11 tahun lalu. Keadaan ini menyebabkannya berasa takut dan bimbang sekiranya kemusnahan yang berlaku 11 tahun lalu berulang kembali. Dalam gempa bumi kuat 11 tahun lalu, ia membuatkan kawasan berkenaan dibadai tsunami dan menyebabkan Loji Nuklear Fukushima mengalami kerosakkan teruk.
Bagaimanapun, mujurlah dalam insiden gempa bumi kali ini, agensi yang menguruskan kemudahan loji nuklear itu memaklumkan ia tidak menyebabkan berlakunya sebarang kebocoran radiasi dan tiada kerosakan dikesan.
BACA: (Video) Bersih Elok, Cara Senang Cuci Kipas “Stand” Tak Perlu Buka “Cover”
Sumber: BBC, Twitter