Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan Institut Penyelidikan Malaysia (IMR) melaksanakan pengasingan virus dan kultur virus melibatkan COVID-19.
Katanya, salah satu contoh adalah penyelidikan melibatkan pesakit kes ke-26 yang telah menjangkiti 120 orang.
“Kes-26 contohnya, kita telah kaji virus tersebut dan kita didapati ada satu mutasi pada kodon 15, mungkin disebabkan mutasi ini menjadikan virus tersebut lebih ganas dan merebak serta menjangkiti 120 orang.
“Jadi mungkin sebab kes ke-26 ini menjangkiti adalah sebab mutasi tersebut. Mutasi baru lebih dahsyat lagi dari segi jangkitan dan penularan dalam kalangan individu-individu yang terlibat,” katanya.
Tambah beliau, selain memperbanyak ujian, IMR juga memberi tumpuan kepada usaha pengasingan virus dan mengkaji virus tersebut.
Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan penularan virus di Malaysia ketika gelombang pertama dan peringkat awal gelombang kedua terdiri daripada strain B, strain serupa yang menyerang Wuhan, China.
Sementara itu, Amerika Syarikat dilaporkan diserang strain A dan negara Eropah diserang strain C koronavirus tersebut.
Dalam sidang media yang sama juga, beliau turut memaklumkan bahawa India melaporkan 10 mutasi dan KKM difahamkan terdapat 30 mutasi setakat ini.
Kenyataan beliau bermula pada minit 43.
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)