Benarlah, tabiat menabung akan memberikan pelbagai manfaat kepada sesiapa sahaja. Apabila mempunyai duit dengan hasil usaha sendiri, ia memberikan kepuasan yang sangat bermakna.
Baru-baru ini, tular mengenai seorang wanita di Indonesia yang dilaporkan telah membeli kereta baharu menggunakan duit hasil simpanannya selama lima tahun.
Lebih mengejutkan ramai pihak, dia membawa beberapa tabung yang berisi wang kertas dan syiling untuk membayar kereta itu.
Perkongsian video mengenai wanita itu telah dimuatnaik pada Rabu minggu lalu oleh Makassar_iinfo di laman Instagram.
Melalui video itu, dapat dilihat beberapa orang yang duduk di lantai dan berhadapan dengan kotak yang berisi timbunan wang kertas. Mereka nampaknya sedang mengira jumlah duit tersebut.
Pun begitu, ia bukan satu kotak sahaja, terlihat satu kotak lain yang mengandungi beberapa balang duit syiling.
“Alhamdulillah, ibu Hajah telah membeli sebuah kereta Toyota menggunakan duit tabungannya,” kata seorang lelaki yang merakam video itu.
Wanita yang memakai baju berwarna kuning itu juga dilihat sangat gembira kerana akhirnya dapat membeli kereta baharu.
Sumber: Suara Jogja